Negeri Sembilan FC Ikat Peledak Dari Ghana
Hafiz Omar

Kelab yang berpangkalan di negeri tanah beradat iaitu Negeri Sembilan FC mendatangkan seorang lagi pemain di barisan serangannya khusus untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2025-2026.
Peledak terbaharu yang membarisi skuad bimbingan Nidzam Jamil itu datanganya dari Ghana, berusia 28 tahun serta memiliki ketinggian 1.72 meter (m) iaitu Joseph Esso.
Sebelum ini, Esso beraksi bersama Dream FC yang berpangkalan di negara kelahirannya dimana dia berjaya menyumbat 11 gol daripada 32 penampilan dalam saingan Liga Premier Ghana 2024-2025.
Selain daripada itu, Esso pernah beraksi seketika di Algeria bersama MC Alger selepas mewarnai peringkat awal karier bola sepaknya bersama Ebusua Dwarfs dan Hearts of Oak di Ghana.
Dimaklumkan, Esso pernah menyarung jersi Ghana A yang menamatkan saingan Piala Negara-Negara WAFU 2019 di tempat kedua termasuk menjaringkan satu gol ketika perlawanan akhir menentang Senegal.
Kemasukan Esso ini menyaksikan Nidzam bakal mempunyai pilihan untuk mengadunkan jentera serangan terbaik bersama penyerang-penyerang lain seperti Luqman Hakim, A. Selvan, Takumi Sasaki, Jovan Motika dan Mio Tsuneyasu.
Featured Image: Negeri Sembilan Football Club