Kutipan Program ‘Adopt A Seat’ Akan Digunakan Untuk Pembangunan & Akar Umbi – Kerteh FC

July 18, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tatkala kelab komuniti yang berpangkalan di negeri Terengganu, Kerteh FC memulakan proses mengecat semula “grandstand” atau astaka bagi stadiumnya, Stadium Mini Kerteh, dengan warna hijau dan putih, satu idea menarik muncul di benak fikiran pihak pengurusannya.

Idea itu adalah dengan mengabadikan nama individu, keluarga mahupun organisasi pada setiap tempat duduk di stadium berkenaan sebagai simbolik kepada tanda kasih dan sokongan kepada bola sepak komuniti.

Lantas, mereka tampil melancarkan satu program yang dinamakan “Adopt A Seat” dimana orang ramai atau organisasi boleh menyumbang berdasarkan pakej yang ditawarkan untuk memahat nama masing-masing di atas plat pada setiap kerusi di situ.

“Inspirasi utama program ‘Adopt a Seat’ ini lahir daripada hasrat kami untuk menjadikan Stadium (Mini) Kerteh bukan sekadar tempat berlangsungnya aktiviti sukan tetapi sebagai ruang milik bersama, tempat yang dipenuhi dengan rasa bangga, local identity (identiti setempat) dan sense of belonging (semangat kekitaan).”

“Bila kami memulakan proses mengecat semula tempat duduk dengan warna hijau putih, kami sedar bahawa perubahan fizikal itu boleh dijadikan simbolik. Ia membuka peluang untuk komuniti meletakkan sebahagian daripada diri mereka (menerusi nama), kenangan dan sokongan dalam stadium ini.”

“Inspirasi kami adalah semangat akar umbi. Kami mahu komuniti rasa mereka memiliki kelab ini dan lebih penting, mereka adalah sebahagian daripada perjalanan dan cerita Kerteh FC. Inilah nilai sebenar program ini yang mengikat rasa, bukan semata-mata kutipan dana.” demikian perkongsian oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerteh FC, Syed Khairi Amier Syed Radzuan kepada Sukanz.

Kerteh FC menawarkan tiga pakej dan perinciannya adalah seperti berikut:

  • Pakej 1
    • Komuniti
    • Harga: RM50
    • Faedah: Nama + Sijil Digital
  • Pakej 2
    • Penyokong Setia
    • Harga: RM100
    • Faedah: Nama + Sijil Digital + Diskaun Khas Barangan Rasmi
  • Pakej 3
    • Korporat
    • Harga: RM400
    • Faedah: 9 Tempat Duduk + Publisiti Khas + Diskaun Khas Barangan Rasmi

Tambah Syed Khairi Amier, tiada sebarang sasaran kutipan sumbangan yang terperinci daripada program ini. Beliau lebih suka melihat sebanyak 50, 200 atau 400 nama mahu menghiasi tempat duduk di astaka itu dan menjadi sebahagian daripada lanskap Stadium Mini Kerteh – sekaligus menjadi bukti dan lambang kepercayaan dan kepemilikan bersama.

“Kami mahu program ini membina kepercayaan komuniti. Apabila komuniti mula memberi secara sukarela, secara simbolik, itu adalah tanda kemajuan yang sebenar. Sebuah kelab bola sepak tidak akan berkembang hanya melalui keputusan di atas padang tetapi juga melalui hubungan jangka panjang dengan masyarakatnya.” ujarnya.

Jelas Syed Khairi Amier lagi, sumbangan yang dikutip daripada program ini akan digunakan semula sepenuhnya untuk manfaat bersama seperti penyelenggaraan kemudahan stadium, sokongan logistik untuk program akar umbi dan peralatan sokongan latihan bagi pasukan-pasukan pembangunannya.

Pada hari pertama pelancarannya, pada Khamis, sebanyak 20 tempat duduk telah ditempah termasuk satu pakej Korporat daripada seorang mangsa serangan jantung yang terselamat, Radhie Abdullah. 

Untuk makluman, individu atau entiti korporat yang menyertai program “Adopt A Seat”, namanya akan terpahat pada kerusi berkenaan bermula dari 1hb Oktober 2025 hingga 31hb Disember 2026.

Bagi yang berminat menyertai program ini, pendaftaran menerusi satu pautan  Google Forms yang dikongsikan oleh Kerteh FC dibuka sehingga 31hb Ogos 2025.

Featured Image: Kerteh FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd