Harapan Tinggi Untuk 6 Pemain Import
Hafiz Omar

Ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali meletakkan harapan tinggi terhadap enam pemain import untuk memberikan impak positif dalam saingan Liga Super musim 2025-2026 bersama-sama pemain tempatan yang lain.
Berbanding musim lalu membariskan sembilan pemain import, Badrul menyifatkan jumlah kali ini, enam pemain, lebih realistik namun beliau berharap kualiti yang ada dapat membantu kelab untuk memberi tentangan sengit.
Kongsinya, beliau kurang berpuas hati dengan prestasi beberapa import yang kurang menyerlah pada musim lalu. Hal itu menyaksikan Terengganu FC lebih berani menagih kudrat pemain tempatan berbanding import untuk menghadapi saingan musim bola sepak tempatan yang baharu.
“Musim lepas kita ada 9 pemain import, tapi musim ini nak pakai 6 orang sahaja, jadi sudah tentu saya harap mereka dapat membantu TFC dengan lebih cemerlang kali ini.”
“Sebab saya tengok sebelum ini beberapa pemain import kita yang ada kurang membantu, dan sebab itu saya mengharapkan mereka yang ada musim ini dapat bagi persembahan yang lebih membanggakan.”
“Tapi pemain tempatan kami juga tidak boleh dipandang rendah di mana saya akan terus bagi kepercayaan dan keyakinan kepada mereka untuk sama-sama membantu demi kejayaan pasukan,” jelasnya.
Setakat ini, Terengganu FC mempunyai lima pemain import terdiri daripada seorang pemain yang dikekalkan daripada skuad musim lalu, Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan) serta empat orang pemain yang baru dibawa masuk pada jendele perpindahan kali ini iaitu Junior Ngong Sam (Cameroon), Yan Mabella (Perancis), Gabriel Costa (Brazil) dan Raianderson da Costa Morais atau dikenali sebagai Careca (Brazil).
Sementara itu, seorang lagi pemain importnya akan diumumkan kelak.
Pada masa yang sama, Badrul mengakui pasukan turut terasa kehilangan dengan ketiadaan Safawi Rasid namun percaya kualiti yang ada pada pemain-pemain lain termasuklah Akhyar Rashid yang masih kekal bersama skuad berjulukan Hitam Putih ini.
“Sebenarnya lepas kita dah hilang Safawi, memang kita mengharapkan Akhyar untuk tahun ini dan nak tengok dia serta pemain-pemain lain dapat tunjukkan satu persembahan yang baik untuk bantu kelab.”
“Sebab musim ini, banyak pasukan lain yang nampaknya semakin bersedia seperti JDT, Selangor FC, Kuching City FC, Kuala Lumpur City FC serta Sabah FC yang pasti akan jadi pencabar hebat,” tambahnya lagi.
Featured Image: Terengganu FC