Soh Wai Ching Cipta Rekod Dunia – Panjat Tangga 1.788KM Dalam Masa Sejam

July 21, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Juara dunia dalam acara larian menara, Soh Wai Ching memahat satu rekod dunia yang baharu susulan menyudahkan satu percubaan yang dilakukannya di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Menerusi perkongsian di akaun media sosialnya, Wai Ching, 30 tahun, berjaya melakukan pendakian terjauh menggunakan mesin tangga dengan jarak 1.788 kilometer (km) dalam masa satu jam (kategori lelaki).

Jarak itu sekaligus mengatasi rekod 1.748km yang dilakukan oleh David Mahoney dari United Kingdom (UK) yang tercipta pada 30 Mei lalu.

Bagaimanapun, rekod dunia itu tertakhluk kepada prosedur ratifikasi daripada pihak Guinness World Record sebelum disahkan secara rasmi.

Percubaan Wai Ching yang pernah bergelar pelari menara No.1 dunia di pusat beli belah itu turut mengangkatnya sebagai pemegang kepada empat rekod kebangsaan yang baharu.  

Rekod-rekod tersebut ialah Wai Ching kini memegang rekod sebagai individu terpantas mendaki mesin tangga dengan ketinggian Menara Berkembar Petronas (451.9m) dan individu terpantas mendaki mesin tangga dengan ketinggian Merdeka 118 (678.9m). 

Baki dua rekod lagi adalah individu terpantas mendaki mesin tangga secara menegak sejauh 1KM dan pendakian mesin tangga jarak menegak terpanjang dalam masa sejam.

Untuk makluman, kesemua rekod itu disempurnakan dengan menggunakan STEPR XL dengan ketinggian anak tangga 22.86cm (9 inci).

“Saya sangat bertuah dapat menjayakannya walaupun mengalami kekejangan pada minit ke-52 dan saya tidak mempunyai pilihan lain melainkan mengubah cara saya menapak,” katanya.

Featured Image: Facebook Soh Wai Ching Towerrunner

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd