Azizul The Pocket Rocketman Dilantik Sebagai Duta MHsports

July 23, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Malaysia Aviation Group (MAG) tampil mengumumkan melantik ikon berbasikal trek kebangsaan, Dato’ Azizulhasni Awang selaku Duta Rasmi untuk MHsports menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan pada hari ini.

Inisiatif strategik oleh Malaysia Airlines ini bertujuan untuk memartabatkan bakat sukan terkemuka negara disamping memupuk budaya kecemerlangan, ketahanan dan perpaduan. 

Menerusi perjanjian ini, Malaysia Airlines akan menyokong Azizul sesi latihannya yang sedang berjalan dan penyertaannya di kejohanan-kejohanan antarabangsa. Kolaborasi ini mencerminkan dedikasi berterusan MAG untuk menyokong atlet Malaysia dalam mencapai kejayaan di pentas antarabangsa menerusi MHsports.

Selaku Duta MHsports, Azizul yang turut dikenali sebagai “The Pocket Rocketman” akan memainkan peranan yang aktif dalam kempen berjenama dan inisiatif sesi libat urus komuniti yang bertujuan untuk menginspirasikan belia dan memupuk kebanggaan negara menerusi sukan.

Azizul merupakan atlet berbasikal pertama Malaysia yang berjaya merangkul pingat di temasya Sukan Olimpik, bermula dengan warna gangsa di Sukan Olimpik Rio 2016 diikuti dengan warna perak di Sukan Olimpik Tokyo 202. 

Senarai pencapaiannya turut diwarnai dengan merangkul gelaran juara di Kejohanan Dunia UCI, juara Kejohanan Asia serta menaiki pelbagai podium di acara Piala Dunia.

Untuk makluman, MHsports merupakan solusi perjalanan yang direka khas untuk pengembara sukan, menawarkan diskaun eksklusif terhadap tambang penerbangan, elaun bagasi tambahan untuk peralatan sukan dan pilihan tempahan yang fleksibel – memastikan pengalaman pengembaraan yang lancar dan berbaloi memenuhi keperluan unik komuniti sukan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd