Terbuka China: Juara Bertahan Kandas Pusingan 32
Hafiz Omar

Selepas terlepas gelaran beregu lelaki No.1 dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin mengalami satu lagi episod kedukaan apabila tersingkir awal daripada kejohanan Terbuka China 2025.
Biarpun turun selaku juara bertahan dan pilihan pertama kejohanan, Sze Fei-Izzuddin terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu berikutan dikejutkan oleh Kang Min Hyuk dan Ki Dong-ju.
Gandingan dari Republik Korea yang bermula sejak Mac lalu itu berjaya menumpaskan Sze Fei-Izzuddin menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 15-21, 21-15 dan 21-17 dalam masa hampir satu jam.
Min Hyuk-Dong Ju yang merekodkan kemenangan dapat meneruskan kempennya ke pusingan 16 bertemu wakil Denmark, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard.
Sementara itu, sepasang lagi beregu negara menimpa nasib yang sama tersingkir di pusingan 32 pada hari ini ialah Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai – naib juara edisi lalu.
Penyingkiran itu berlaku berikutan Soon Huat-Shevon yang kini berada ranking keenam dunia ditewaskan oleh beregu Indonesia yang menduduki ranking ke-14 dunia, Jafar Hidayatullah dan Felisha Pasaribu.
Dalam pertarungan itu, Soon Huat-Shevon tewas menerusi skor 21-18, 22-24 dan 15-21 dalam masa satu jam dan sembilan minit.
Jafar-Felisha yang melakar kemenangan melangkah ke pusingan 16 dan menantinya di situ adalah beregu Denmark, Mads Vestergaard-Christine Bush.
Featured Image: Kaohsiung Masters 2023