MFL, Genius Sports Perbaharui Kerjasama Hingga Musim 2029-2030

July 24, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Badan pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) tampil memperbaharui kerjasama eksklusif dengan Genius Sports – syarikat teknologi sukan dalam bidang data, teknologi dan penyiaran.

Pembaharuan perjanjian melibatkan kedua-dua entiti itu berlangsung bagi tempoh lima tahun lagi yang bermula dari musim 2025–2026 sehingga musim 2029–2030.

Ianya ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd dan Ketua Pegawai Perkongsian Strategik Genius Sports, Steven Burton dalam satu majlis yang berlangsung pada Khamis di Wisma FAM, Kelana Jaya pada hari ini.

Turut hadir menyaksikan majlis tandatangani tersebut adalah Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani dan Naib Presiden Perkongsian Strategik Sukan Genius Sports, Mohamed Feizel.

Genius Sports menerusi sistemnya, Football LiveStats akan merekod dan mengedarkan statistik rasmi perlawanan dari setiap perlawanan sekaligus menyediakan kemaskini secara langsung kepada peminat bola sepak Malaysia melalui laman web, siaran langsung dan platform media lain.

Bukan itu sahaja, Genius Sports akan melancarkan permainan fantasi dan ramalan khas (predictor games) untuk MFL. Melaluinya, peminat bola sepak Malaysia boleh menguji pengetahuan mereka akan pemain kegemaran masing-masing serta bersaing dengan rakan-rakan dan peminat lain di seluruh dunia.

Pada masa yang sama, Genius Sports telah diberikan hak eksklusif untuk mengedarkan data secara langsung dan penstriman video daripada setiap pertandingan dan perlawanan untuk terus mendorong pertumbuhan global dan menghubungkan bola sepak Malaysia dengan peminat antarabangsa.

Genius Sports yang juga rakan rasmi buat beberapa liga bola sepak terbesar dunia seperti FIFA, EFL dan MLS melihat lanjutan kerjasama ini sejajar dengan misi dan visinya untuk meningkatkan penglibatan digital peminat dan menyumbang kepada perkembangan keseluruhan bola sepak Malaysia – khususnya Liga Malaysia, kini berada di kedudukan ke-11 daripada 47 negara asia.

Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, berharap kerjasama yang diteruskan ini akan memberi impak positif kepada Liga Malaysia serta mengukuhkan lagi hubungan dengan para peminat bola sepak.

“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan kami terhadap keupayaan Genius Sports untuk terus membangunkan aspek digital dan komersial Liga Malaysia melalui teknologi terkini, sekaligus membawa liga ini lebih dekat dengan peminat tempatan.”

“Dalam era bola sepak moden yang dipacu teknologi dan inovasi, data dan statistik secara langsung adalah penting untuk menyampaikan maklumat menyeluruh kepada penyokong Liga Malaysia.”

“Melalui kerjasama ini bersama Genius Sports, kami berharap dapat mewujudkan platform terbaik bagi pengumpulan dan pengedaran data perlawanan secara langsung kepada MFL dari musim ini hingga 2029–2030,” katanya.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd