Liga Wanita Nasional 2025 Dapat Peruntukan RM840,000 Daripada KBS
Hafiz Omar

Penganjuran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama-sama Sports Media Inc 8 mendapat peruntukan sebanyak RM840,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Geran Padanan Sukan (GPS).
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh ketika pelancaran LWN 2025 bertempat di Saloma Kuala Lumpur menunjukkan kBS dan Kerajaan komited dalam pembangunan sukan bola sepak wanita Malaysia.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada FAM dan semua pihak yang terlibat atas dedikasi dan komitmen berterusan dalam menyediakan ruang serta peluang kepada pemain bola sepak wanita di Malaysia.
“Inisiatif seperti ini penting dalam mewujudkan ekosistem yang inklusif, mampan dan kompetitif, bukan hanya untuk mencipta kejayaan di peringkat nasional, malah membuka jalan ke pentas antarabangsa,” kata Hannah Yeoh.

Saingan LWN 2025 menyaksikan lapan buah pasukan berentap merebut kejuaraan terdiri daripada Kelana United FC, Sabah FA, Selangor FC, Red Eagles FC serta empat pasukan baharu iaitu Young Tigress, KL Rangers FC, Kuala Lumpur FA dan MBSJ FC.
Menariknya, FAM turut memperkenalkan peraturan baharu pada musim ini dimana setiap pasukan yang bertanding dibenarkan mendaftarkan dua pemain import.
Exco merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob menjelaskan pelaksanaan pendaftaran dua pemain import untuk setiap pasukan memberi tambah nilai kepada liga bola sepak wanita negara.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan daya saing pasukan tetapi juga membuka ruang untuk pemain tempatan belajar dan berkembang bersama pemain bertaraf antarabangsa.”
“Ia turut mencerminkan kesungguhan kita untuk membawa bola sepak wanita ke tahap yang lebih professional dan berdaya saing di peringkat serantau dan global lebih-lebih lagi lapan pasukan bertanding ini sudah tentu mahu merebut slot ke peringkat kelayakan AFC Women’s Champions League, tahun hadapan,” kata Suraya.
Untuk makluman, lapan pasukan ini akan mengharungi 56 perlawanan secara keseluruhan. Aksi LWN 2025 telah membuka tirainya pada 12hb Julai (Sabtu) lalu melibatkan pertembungan antara juara bertahan Kelana United FC dan Red Eagles FC dimana ianya berakhir dengan keputusan 1-1.
Featured Image: Football Association of Malaysia