Liga A1 Semi-Pro: Pemain Muda Jadi Taruhan KDA FC Bimbingan Azzmi Aziz
Hafiz Omar

Saingan Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 menjadi pentas kebangkitan terbaik buat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk terus berada dalam peta bola sepak Malaysia.
Bagaimanapun, proses kebangkitan itu tidak dilihat mudah lebih-lebih lagi mereka terpaksa mengharungi “sekatan perpindahan pemain”.
Oleh demikian, ketua jurulatih, Azzmi Aziz terpaksa mempertaruhkan skuad yang terdiri daripada barisan pemain muda.
Bekas pengendali PDRM FC itu sudah dapat menjangkakan cabaran yang tertentu dengan menggunakan pemain-pemain muda ini namun dia itu tetap menaruh kepercayaan terhadap anak-anak buahnya untuk membuktikan sesuatu.
“Kami kena realistik dengan situasi semasa pasukan, enggan meletakkan janji dengan apa yang dilalui pasukan ketika ini (sekatan perpindahan pemain).”

“Bermain di hadapan penyokong yang ramai juga antara elemen yang perlu dihadapi pemain-pemain muda dalam pasukan, bagi saya ia bukanlah mudah namun tidak mustahil dilakukan,” ujarnya seperti dikongsikan kepada Amateur Football League (AFL).
Selain daripada dibari pemain-pemain muda, KDA FC yang dimiliki tokoh kewangan islam, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar itu juga tidak menandatangani sebarang pemain import.
“Saya rasa kita mampu bersaing cuma kita ada sedikit kekurangan tentang pemain import yang dilihat antara faktor utama, tanpa pemain import kita akan berdepan dengan halangan, penyudahan kurang berkesan.”
“Kita kena realistik dengan apa yang ada dalam pasukan, beberapa siri perlawanan persahabatan yang dihadapi sebelum ini memberikan ruang untuk kami terus memperbaiki kelemahan-kelemahan.”
“Dari segi stamina dan kerjasama saya yakin pemain-pemain muda tempatan mampu mengatasinya dan memberikan impak dalam pasukan,” tambahnya yang meletakkan sasaran peribadi menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.
Featured Image: Amateur Football League