
Beregu wanita No.3 dunia, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan bakal membuat perhitungan dengan salah satu pasangan yang sukar ditumpaskannya iaitu Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian untuk merebut tiket ke perlawanan akhir Terbuka China 2025.
Yi Fan-Shu Xian yang menghuni ranking ketujuh dunia pada ketika ini menjadi lawan Pearly-Thinaah selepas berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Yuki Fukushima dan Mayu Matsutomo pada pertarungan suku akhir, sebentar tadi.
Dalam pertarungan tersebut, Pearly-Thinaah menamatkan permainan dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-12 dalam masa 39 minit.
Sebagai rekod, kemaraan ke peringkat separuh akhir Terbuka China – Jelajah Dunia BWF Super 1000 – merupakan yang pertama dalam karier atau sejarah gandingan Pearly-Thinaah.
Bercakap mengenai lawannya di separuh akhir, Yi Fan-Shu Xian, yang bergandingan sejak November 2024, sudah pernah dihadapi oleh Pearly-Thinaah sebanyak empat kali setakat ini.
Kesemua pertemuan itu berlangsung pada tahun ini, dan tiga daripadanya berakhir dengan Pearly-Thinaah mengalami kekalahan di Masters Orleans, Masters Malaysia dan Terbuka Singapura.
Rekod menunjukkan Pearly-Thinaah hanya berhasil mencatatkan kemenangan ketika bertemu buat julung kalinya di Terbuka India pada Januari lalu.
Untuk makluman, Yi Fan-Shu Xian mara ke peringkat separuh akhir selepas menumpaskan sepasang lagi beregu wanita negara, Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing menerusi skor 21-7 dan 21-15 dalam masa 34 minit.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia