Piala FA 25-26: Juara Bertahan Mula Kempen Bertemu UM-Damansara FC

July 28, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Saingan kejohanan kalah mati, Piala FA 2025-2026 menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memulakan kempen untuk mempertahankan kejuaraannya dengan bertemu wakil daripada divisyen kedua bola sepak tanah air, UM-Damansara FC.

Pertembungan itu terhasil selepas berlangsungnya Majlis Undian Piala FA 2025-2026 pada Isnin.

Hasil undian itu juga menyaksukan dua wakil dari Borneo iaitu kelab jemputan, DPMM FC bakal menerima kunjungan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak, Kuching City FC bagi perlawanan pertama pusingan 16.

Selain DPMM FC, satu lagi kelab baharu dalam kancah tertinggi bola sepak tanah air, Melaka FC diundi menentang Penang FC.

Sementara itu, finalis Piala FA edisi lalu, Selangor FC pula akan bertembung dengan Malaysian University FT manakala Sabah FC pula berjumpa dengan Bunga Raya FC. Kedua-dua pasukan, Malaysian University FT dan Bunga Raya FC datangnya dari Liga A1 Semi-Pro.

Antara lain yang menarik adalah perlawanan antara Negeri Sembilan FC bertemu dengan PDRM FC sementara juara piala FA sebanyak dua kali, Terengganu FC akan berhadapan Imigresen FC.

Pasukan berjenama baharu, Kelantan The Real Warriors FC pula diundi melawan Kuala Lumpur City FC – finalis Piala FA edisi 2023.

Untuk makluman, buat julung kalinya, peringkat pusingan 16 Piala FA kali ini akan dimainkan secara timbal balik diikuti suku akhir dan separuh akhir.

Penganjur memaklumkan perlawanan pusingan 16 akan bermula pada 16hb Ogos 2025 dengan aksi perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada Disember 2025.

Sebagai rekod, setelah berlangsung 34 edisi kejohanan ini, Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC kekal selaku juara paling banyak iaitu sebanyak lima kali, JDT sebanyak empat kali diikuti Sri Pahang FC serta Kuala Lumpur City FC iaitu tiga kali.

Selain itu Perak FC, Kelantan FC, Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC telah memenanginya sebanyak dua kali.

Manakala Sabah FC, Sarawak FC, Penang FC, Johor FA dan LionsXII pula pernah muncul juara sebanyak satu kali masing-masing.

Featured Image: Malaysian Football League

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd