Ranking BWF: Tang Jie-Ee Wei Kembali Ke Tangga No.3 Dunia
July 29, 2025 Hafizuddin Omar

Gandingan semula Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei bermula kejohanan Terbuka Singapura 2025 – Jelajah Dunia BWF – sekitar penghujung Mei lalu telah meletakkan semula pasangan ini di tangga No.3 dunia.

Perkembangan diperlihatkan susulan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia pada hari ini.

Biarpun menamatkan saingan Terbuka China 2025 setakat peringkat suku akhir sahaja, ianya sudah memadai untuk melonjakkan kembali kedudukannya di tangga ketiga dengan kutipan 85,013 mata.

Kutipan mata itu turut dibantu dengan kemaraan Tang Jie-Ee Wei sehingga ke peringkat suku akhir Terbuka Jepun dan Terbuka Indonesia sekitar pertengahan Julai dan awal Jun masing-masing.

Lain pula kisahnya melibatkan beregu campuran No.2 dan No.3 negara iaitu Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Hoo Pang Ron-Cheng Sui Yin.

Soon Huat-Shevon yang juga merupakan pasangan suami isteri mengalami kejatuhan dua anak tangga pada minggu ini selepas mengumpul 72,998 mata. Kini mereka berada di tangga kelapan dunia.

Manakala Pang Ron-Su Yin pula mempunyai 52,363 mata namun dilihat jatuh tiga anak tangga dan berada di tampat ke-16 dunia pada saat ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen