Astro Siar 31 Perlawanan Liga A1 Semi-Pro 2025-2026

July 29, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Badan pengelola, Amateur Football League (AFL) secara rasminya mengumumkan kolaborasi bersama Astro selaku Rakan Penyiar Rasmi Liga A1 Semi-Pro 2025-2026.

Pembabitan Astro ini bakal menjanjikan 31 siaran perlawanan secara langsung sepanjang kejohanan. Ianya akan disiarkan jam 8.45 malam, setiap hari Isnin menerusi saluran Astro Arena.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menyifatkan kehadiran Astro menambahkan lagi kemeriahan musim baharu Liga A1 Semi-Pro yang akan membuka tirainya 2hb Ogos nanti.

“Liga A1 Semi-Pro kini menjadi bualan hangat dimana peminat-peminat tertanya-tanya untuk menyaksikan siaran langsung.”

“Kali ini agak luar biasa dimana saingan Liga A1 Semi-Pro akan bersiaran di televisyen. Pengumuman AFL ini merupakan penghargaan buat komuniti bola sepak Semi-Pro dan Amatur.”

“Saya percaya dengan sokongan dan komitmen rakan penyiar tempatan, ia bukan hanya demi kepuasan kualiti tontonan peminat-peminat tanah air.”

“Pada masa sama  ia dapat meningkatkan nilai komersial Liga A1 Semi-Pro yang akhirnya akan memberikan pulangan besar buat pasukan serta pemain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Penyiar Rasmi Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 di Shah Alam, hari ini.

Ujarnya lagi, penglibatan Astro selaku rakan penyiar liga musim ini bakal memenuhi kehendak peminat peminat tempatan yang mendambakan satu liputan menyeluruh dan menarik.

“Sebelum ini perlawanan Liga A1 disiarkan menerusi saluran Youtube AFL, Facebook dan MyTV namun untuk musim ini di saluran Astro.”

“AFL yakin Astro mampu memenuhi kehendak dan objektif, kami menemui rakan kongsi terbaik untuk membina semula jenama dan impak Liga A1 Semi-Pro ke tahap lebih tinggi.”

“Menerusi kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Astro dalam bidang penyiaran sukan, kami berharap ia dapat memenuhi jangkaan dan harapan semua peminat.”

“Tiada keraguan reputasi Astro sebagai penyiar, kerjasama ini dilihat bakal mencetuskan fenomena bola sepak khususnya Liga A1 yang akan diingati pengikut bola sepak tanah air,” tambahnya.

Astro akan memulakan siaran langsungnya dengan menyajikan aksi pembukaan yang menemukan Perlis Guar Syed Alwi FC dengan Kedah FA di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar bermula jam 8.45 malam pada Sabtu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd