Akmal Rizal, Farizal Marlias ‘Pundit’ Baharu Astro
Hafiz Omar

Penyiaran Liga Malaysia 2025-2026 oleh Astro selaku penyiar rasmi memberikan nafas segar dalam analisis serta liputan perlawanan apabila menyajikan tambahan dua “pundit’’ yang merupakan nama besar dalam kancah bola sepak tanah air.
Salah seorang daripadanya merupakan penyerang prolifik negara era 2000-an serta terlibat dalam bidang kejurulatihan akhir-akhir ini, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan bekas penjaga gol utama skuad kebangsaan, Farizal Marlias.
Kedua-dua nama itu diumumkan menyertai barisan “pundit” atau pakar bola sepak yang sedia ada seperti Zaquan Adha, Safee Sali, Razman Roslan, Nizaruddin Yusof, Norshahrul Idlan Talaha dan Dato’ Zainal Abidin Hassan dalam Majlis Pelancaran Astro x Liga Malaysia 2025-2026, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Astro turut memperkenalkan kempen “Ini Padang Kita: Di Sini Semangat Bola Kita Bermula” – sebuah penghormatan kepada padang-padang tempatan yang menjadi nadi dan jiwa bola sepak negara.
Menerusi inisiatif ini, Astro akan mengutamakan pemulihan padang komuniti bukan hanya daripada segi infrastruktur tetapi juga sebagai ruang selamat dan inklusif untuk generasi muda berlatih, bermain dan membina impian mereka.
Kempen ini juga mencerminkan komitmen jitu terhadap pembangunan akar umbi bola sepak yang bermula secara kecil dalam kalangan masyarakat dan bukan hanya di stadium besar.
Untuk makluman, ini merupakan musim ketiga Astro tampil selaku penyiar rasmi Liga Malaysia membawa peminat dan penyokong pengalaman tontonan secara lebih dekat dan segar menerusi saluran Arena Bola (CH803 & 804) serta platform penstriman sooka dengan 288 perlawanan bakal bersiaran secara langsung dalam definisi tinggi (HD).