MFL Umum Tambahan Kuota 3 Pemain Tempatan

August 1, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab-kelab yang beraksi dalam kancah Liga Super kini dibenarkan untuk mendaftarkan tambahan tiga pemain tempatan sekaligus menjadi keseluruhan 33 pemain bola didaftarkan untuk mengharungi kempen Liga Malaysia 2025-2026.

Perkembangan ini hadir susulan pengumuman oleh Malaysian Football League (MFL) pada hari ini hasil daripada keputusan yang dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas yang berlangsung baru-baru ini.

Dimaklumkan, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan permohonan tambahan kuota pemain tempatan daripada beberapa kelab khususnya pendatang baharu Liga Super daripada kancah Liga A1 Semi-Pro.

Alasannya, kelab-kelab berkenaan diberikan pengecualian daripada memiliki pasukan pembangunan (skuad Piala Presiden, skuad Piala Belia, skuad Bawah 17 Tahun dan skuad Bawag 10 Tahun) pada musim pertama selain pemansuhan saingan Piala MFL bagi musim 2025-2026.

“Justeru tambahan kuota tiga pemain tempatan ini dapat memberikan tambahan pilihan pemain kepada kelab yang tidak memiliki pasukan pembangunan.” tulis kenyataan oleh MFL.

Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah MFL menekankan bahawa kelab-kelab tidak diwajibkan memenuhi tambahan tiga kuota pemain tempatan tersebut. Sebaliknya ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing.

“Penambahan kuota tiga pemain tempatan ini menjadikan komposisi pemain bagi kelab Liga Malaysia 2025-2026 adalah 33 pemain keseluruhan yang boleh didaftarkan iaitu 18 pemain tempatan dan 15 pemain asing.” jelas MFL lagi.

Untuk makluman, kelab-kelab boleh mendaftarkan pemain sehingga 31hb Ogos 2025 – jendela perpindahan pertama Liga Malaysia musim ini. Sementara itu, jendela perpindahan kedua pula akan bermula 5hb Januari 2026 hingga 1hb Februari 2026.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd