Jempol Destinasi Pembuka Tirai Siri Kejuaraan Rali Malaysia 2025

August 1, 2025
Permotoran

Hafiz Omar

Pembuka tirai siri Kejuaraan Rali Malaysia MAM 2025 menuju ke Jempol, Negeri Sembilan sebagai destinasi pertamanya. Dijenamakan sebagai ‘Rally of Jempol 2025’, ianya akan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu (2hb Ogos). 

Perlumbaan itu menyaksikan seramai 36 pelumba bagi 18 jentera telah mengesahkan penyertaan untuk memburu podium pertama mereka bagi musim ini.

Bertempat di ladang sawit FELDA Raja Alias dan FELDA Serting Hilir, Jempol, perlumbaan ini mempertandingkan sebanyak 13 kategori melibatkan perlumbaan sejauh 239.88KM bagi 10 peringkat dengan setiap peserta perlu mencatatkan masa terpantas.

Menariknya, perlumbaan ini turut menampilkan pelumba legenda negara, Karamjit Singh bersama pemandu arah Daveendar Singh dengan menaiki jentera Proton Gen2 4WD. Mereka akan turun beraksi bagi kategori Terbuka bersaing rapat dengan beberapa pelumba tempatan yang kian meningkat di persada rali kebangsaan.

Begitu juga buat pasukan kerdil dari pantai timur, Eastcoast Rallying yang mempertaruhkan jentera Subaru Impreza WRX 4WD dipacu oleh Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki bersama pemandu arah Mohd Hazwan Fauzi turut meletakkan harapan yang tinggi untuk meraih podium bagi perlumbaan pertama mereka musim ini.

“Segala-galanya di tahap yang terbaik begitu juga dengan persiapan jentera lumba kami untuk perlumbaan pertama kami bagi musim ini di Jempol nanti.”

“Sasaran awal kami sudah pasti untuk menaiki podium namun untuk perlumbaan pertama bagi musim ini setiap pasukan mempunyai kelebihan tersendiri setelah mempunyai masa yang amat panjang bagi persiapan pasukan masing-masing setelah berakhirnya perlumbaan di Asahan, Melaka yang menutup tirai musim lalu,” ujar Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki.

Tambahnya, walaupun tanpa gandingan pemandu arah Amir Izham Abd Aziz bagi perlumbaan pertama ini dia tetap optimis Eastcoast Rallying masih mampu menaiki podium di Jempol nanti.

Untuk makluman, Amir Izham Abd Aziz terpaksa melupakan perlumbaan pembukaan musim ini berikutan kekangan jadual padat terlibat dalam program kejurulatihan skuba antarabangsa di Pulau Perhentian, Terengganu.

Ketika ini tugas pemandu arah pasukan Eastcoast Rallying digalas sementara oleh Mohd Hazwan Fauzi yang turut pernah beraksi di beberapa perlumbaan kejuaraan rali tempatan sebelum ini.

Untuk rekod, Kejuaraan Rali Malaysia MAM 2025 yang dianjurkan oleh Millennium Motorsports Adventures Club (MMAC) untuk tahun kedua ini turut mendapat pengiktirafan oleh Persatuan Permotoran Malaysia(MAM) – badan induk sukan kebangsaan yang mengawal selia penganjuran sukan permotoran tanah air.

Sebanyak 4 siri perlumbaan rali untuk sepanjang musim ini di mana Jempol, Negeri Sembilan menjadi destinasi pertama diikuti Sepang Bay 13, Litar Antarabangsa Sepang menjadi destinasi kedua bersemperna MAM Malaysia Festival of Speed (MFOS) yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 Ogos nanti.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd