JDT Lancar Jersi ‘Home’ & ‘Away’ 2025-2026 Disertakan Jalur Gemilang
Hafiz Omar

Juara Liga Super sebanyak 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil melancarkan jersi “home” dan “away” untuk digunakan bagi memburu pelbagai kejuaraan sepanjang musim 2025-2026.
Pengenalan kedua-dua persalinan jersi oleh Nike itu didedahkan menerusi satu klip video bertemakan “Sky Was Never The Limit” berdurasi satu minit dan 33 saat yang dimuat naik di pelbagai platform media sosialnya, pada Ahad.
Jersi “home” hadir dalam warna biru disertai dengan jalur berwarna merah bercorak unik. Sementara jersi “away” pula hadir dalam warna serba merah berbanding serba putih pada musim lalu.
Satu perkara yang menarik pada kedua-dua jersi kali ini adalah tampalan bendera Jalur Gemilang pada lengan kanan. Ini tidak disertakan ketika mereka melancarkan jersi alternatif dengan gabungan warna biru muda, “turqoise” dan putih baru-baru ini.

Di bahagian hadapan pula, terpampang jenama kereta dari Jepun iaitu Toyota selaku Rakan Mobiliti Rasmi Kelab sementara pada bahagian lengan kiri dilekatkan logo JCORP iaitu Johor Corporation.
Di bawah kolar pada belakang jersi, turut dilekatkan peta Negeri Johor dengan warna benderanya sementara di bawahnya dipaparkan slogan “Move Your World” – sama seperti jersi alternatifnya.
Kedua-dua jersi itu sudah boleh dipratempah, menerusi kedai rasminya JDT DIRECT di platform Shopee, dan ianya akan dihantar kepada penempah dalam tempoh tiga hari. Kedua-dua jersi berkenaan diletakkan tanda harga RM299 sehelai.


Featured Image: JOHOR Southern Tigers