Melaka FC Bimbingan K. Devan Guna 7 Pemain Import

August 4, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pendatang baharu Liga Super, Melaka FC bimbingan K. Devan akan mengharungi saingan bola sepak musim 2025-2026 dengan kekuatan tujuh pemain import.

Seorang daripadanya dikekalkan daripada skuad musim lalu sementara enam lagi merupakan muka baharu yang ditandatangani pada jendela perpindahan kali ini.

Pemain yang dikekalkan itu ialah Michael Ozor, berusia 21 tahun, berasal dari Nigeria, merupakan seorang pemain tengah yang membantu Melaka FC muncul juara Liga A1 Semi-Pro 2024-2025.

Enam muka baharu pula terdiri daripada Juan Douglas (penyerang, 29 tahun), Patrick Gama (pemain tengah, 25 tahun), Anderson Brito (penyerang sayap, 23 tahun) dan Vitor Carvalho (pertahanan, 32 tahun) dari Brazil. 

Manakala dua lagi pemain, Charles Ralph (pertahanan, 27 tahun) dan Florencio Badelic Jr. (penjaga gol, 31 tahun) datangnya dari Filipina.

Kedatangan pemain-pemain import itu diumumkan menerusi video serta foto-foto yang dimuat naik pada platfrom media sosialnya, pada Ahad.

Untuk makluman semua, Melaka FC akan membuka kempen Liga Super dengan melayan kunjungan Penang FC di Stadium Hang Jebat pada 13hb Ogos (Rabu).

Sepatutnya mereka memulakan kempen dengan bertemu Sabah FC di Stadium Likas pada 10hb Ogos namun pertembungan tersebut telah dipinda oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL).

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd