FIFA Tarik Semula Sekatan Perpindahan Kelantan TRW
Hafiz Omar

Kelantan The Real Warriors FC yang dijenamakan daripada Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) nampaknya sudah boleh mendaftarkan pemain-pemain baharu yang ditandatanganinya untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2025-2026.
Tinjauan Sukanz mendapati laman sesawang, FIFA Registration Bans, telah mengeluarkan KDN FC daripada senarai tersebut selepas mengenakan sekatan perpindahan bagi tempoh tiga jendela perpindahan oleh badan induk bola sepak dunia sejak 19hb Jun lalu.
Hanya dua sahaja pasukan dari negeri Kelantan iaitu Kelantan FC milik Norizam Tukiman serta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) atau Kelantan FA sahaja yang masih tersenarai dalam senarai FIFA Registration Bans.

Perkembangan ini sudah pasti membolehkan mereka mendaftarkan pemain-pemain khususnya kalangan import yang menyertai mereka sepertimana telah dikongsikan presidennya, Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun Facebook peribadinya sebelum ini.

Antara nama-namanya ialah Ifedayo Olusegun, Albert Kang, Damyan Damyanov, Sesay Yusof, Alexandre Yeoule termasuk dua pemain baharu yang diumumkan oleh Annuar baru-baru ini iaitu Habib Haroon dan pemain tempatan, Nor Azam Azih.
Sebelum ini, situasi semasa Kelantan The Real Warriors FC bimbingan E. Elavarasan tidak boleh mendaftarkan pemain-pemain baharunya itu disahkan sendiri oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd.
Untuk makluman, Kelantan The Real Warriors FC akan membuka kempen Liga Super 2025-2026 dengan bertemu Kuching City FC bimbingan Aidil Sharin Sahak pada 9hb Ogos (Sabtu) di Stadium Negeri, Kuching.
Featured Image: Facebook The Real Warrior