Ranking BWF: Justin Hoh Langkau 8 Anak Tangga

August 5, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan lelaki muda negara, Justin Hoh merekodkan peningkatan lapan anak tangga sekaligus meletakkannya di tangga ke-37 dalam Ranking Dunia – tertinggi dalam kariernya setakat ini.

Perkembangan itu hadir selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia, pada hari ini.

Justin, 21 tahun, merekodkan peningkatan terbabit selepas bergelar naib juara Terbuka Macau 2025 – memberikannya tambahan 5,950 mata menjadikan dia kini mengumpul 33,706 mata secara keseluruhan.

Justin terlepas peluang untuk merangkul gelaran juara apabila gagal mengatasi pemain Indonesia, Alwi Farhan dan tewas menerusi skor 15-21 dan 5-21 dalam masa 54 minit.

Sementara itu, kemaskini yang sama menyaksikan perseorangan lelaki No.1 negara, Leong Jun Hao mencatatkan penurunan satu anak tangga dan kini berada di ranking ke-25 dunia.

Manakala pemain negara yang bergerak secara bersendirian dan sedang berehat panjang berikutan kecederaan buku lali, Lee Zii Jia kini terperosok ke tangga 52 dunia – turun 17 anak tangga berbanding minggu lalu.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd