Shin Tae-yong Ganti Kim Pan-gon Bimbing Ulsan HD
Hafiz Omar

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong secara rasminya diperkenalkan selaku pengurus baharu bagi Ulsan HD FC yang beraksi dalam kancah Liga K1 Republik Korea.
Pengenalan jurulatih berusia 54 tahun itu dilakukan Ulsan HD menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di laman sesawang rasminya sambil dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, sebentar tadi.
Menurut kenyataan itu, nama Tae-yong dipilih selaku pengurus ke-13 Ulsan HD oleh pihak pengurusan berikutan kepimpinannya bersama skuad kebangsaan Republik Korea, dalam kancah Liga K1 termasuk pelbagai kelab dan skuad kebangsaan termasuk Indonesia.

Selain itu, Tae-yong juga merupakan seorang legenda Liga K. Semasa aktif bermain di Korea, Tae-yong yang hanya menyarung jersi Seongnam Ilhwa (kini dikenali sebagai Seongnam FC) telah merekodkan 405 penampilan dan menjaringkan 102 gol serta 69 bantuan gol.
Statistik itu membolehkannya membantu Seongnam Ilhwa menjulang enam kejuaraan liga selain meletakkan namanya dalam Dewan Kemasyhuran Liga K.

Pelantikan Tae-yong adalh untuk menggantikan Kim Pan-gon, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, yang kontraknya telah ditamatkan oleh Ulsan HD berikutan prestasi yang tidak memberangsangkan akhir-akhir ini.
Perlawanan menentang Suwon FC pada aksi ke-20 Liga K1 pada 2hb Ogos lalu menjadi perlawanan terakhir dikendalikan oleh Pan-gon bersama Ulsan HD.
Sebagai rekod, Pan-gon mula dilantik sebagai pengurus UIsan HD sekitar penghujung Julai 2024 selepas meletakkan jawatan secara mengejut selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia berjulukan Harimau Malaya atas alasan peribadi.
Featured Image: Ulsan HD FC