Jersi TFC Musim 2025-2026 Lancar Secara ‘Online’ Sehari Sebelum Lawan Penang FC
August 6, 2025 Hafizuddin Omar

Teka-teki mengenai pelancaran jersi baharu Terengganu FC (TFC) yang akan digunakan oleh para pemain bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2025-2026 terjawab.

Terdahulu, pelancaran jersi baharu bagi skuad berpangkalan di pantai timur itu menjadi persoalan dalam kalangan penyokong memandangkan saingan baharu Liga Super akan membuka tirainya pada Jumaat ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah TFC, YB Hishamuddin Abdul Karim tampil menjawab persoalan itu dengan memaklumkan pelancaran jersi akan dilakukan pada Sabtu (9hb Ogos) sementara ianya akan berada di pasaran seawal pertengahan Ogos.   

“Kalau tiada aral, akan launching (lancar) secara atas talian pada Sabtu depan. Kelewatan production (pengeluaran). Insya-Allah akan mula berada di pasaran pada pertengahan atau hujung Ogos.” tulisnya menjawab persoalan yang dilontarkan oleh seorang penyokong di akaun Facebook peribadinya.

Tarikh yang dikongsikan itu adalah sehari sebelum TFC bimbingan Badrul Afzan turun bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang bagi aksi pertama Liga Super 2025-2026.

Untuk makluman, penyedia kit atau persalinan TFC pada saat ini adalah ALX – sebuah jenama milik syarikat pengedar barangan sukan terbesar negara, Al-Ikhsan. Mereka telah menandatangani kontrak selaku penyedia kita buat TFC bagi musim 2024-2025 dan 2025-2026.

Featured Image: Terengganu FC

Komen