Beri Tumpuan Kepada Semua Pemain Terengganu FC – Khairulazhan Khalid
August 6, 2025 Hafizuddin Omar

Penjaga gol baharu Penang FC, Khairulazhan Khalid menjangkakan pertembungan sengit dalam aksi pertama Liga Super, Ahad ini, berdasarkan kepada kualiti yang ada pada barisan pemain baharu Terengganu FC.

Penang FC semestinya tidak mahu menanggung kekecewaan lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri namun Terengganu FC bimbingan Badrul Afzan pastinya tidak akan memberikan laluan mudah kepada pasukan tuan rumah.

Pada 8hb Julai lalu, Penang FC telah turun menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk aksi persahabatan. Mereka mengalami kekalahan 1-3 dan perlawanan itu digunakan untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan menjelang perlawanan yang sebenar.

“Kita sedia maklum Terengganu adalah pasukan yang kuat tambahan pula dengan pemain-pemain import mereka yang berkualiti.”

“Namun, semua pemain kena bagi lebih 100 peratus di atas padang untuk memastikan kami dapat 3 mata terutamanya apabila beraksi di laman sendiri dan kita nak beraksi dengan baik di hadapan penyokong.”

“Bagi saya, semua pemain Terengganu patut diberi perhatian sebab sebelum ini kita dah pernah lawan dengan mereka dalam aksi persahabatan, jadi memang kita dah dapat tengok macam mana mereka semua beraksi.” 

“Apa pun, minggu ini memang banyak jurulatih terapkan kepada pemain untuk terus ada mentaliti kemenangan sebab perlawanan pertama ini penting supaya bagi suntikan semangat lebih awal kepada kita,” kata penjaga gol yang bakal berusia 36 tahun berkenaan.

Khairulazhan diumumkan menyertai Penang FC kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail awal Jun lalu selepas tampil sebanyak 100 kali dalam tempoh sedekad bersama Selangor FC berjulukan Gergasi Merah.

Biarpun hadir atas kapasiti penjaga gol paling senior dalam skuad Penang FC musim ini, Khairulazhan tidak mahu berasa terlalu selesa dan pengalamannya belum menjamin posisinya selaku penjaga gol utama pasukan.

Selain Khairulazhan, posisi penjaga gol pasukan akan turut disaingi oleh Khatul Anuar , Ramadhan Hamid serta penjaga gol muda, Ashriq Izzat.

“Saya pun tak sangka penghijrahan saya ke sini (Penang FC) sebab saya memang dah lama di Selangor, jadi bersyukur masih ada peluang untuk beraksi apabila dapat tawaran daripada Penang.

“Tapi semuanya terletak pada jurulatih (peluang beraksi) sebab ada 3 lagi penjaga gol lain yang bagus dan siapa pun yang dipilih, kami tetap komited untuk beri yang terbaik”, tambahnya.

Featured Image: Penang Football Club

Komen