Sebahagian Besar Bajet Kelantan TRW Digunakan Untuk Lunas Hutang Lama – Annuar Musa
Hafiz Omar

Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) yang dijenamakan daripada Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) lebih selesa melabelkan dirinya selaku “underdog” atau bukan pilihan walaupun dibentuk dengan kehadiran barisan pemain dan kejurulatihan serba baharu.
Label itu diletakkan sendiri oleh presidennya, Tan Sri Annuar Musa memandangkan sebahagian besar daripada bajet terpaksa digunakan untuk melunaskan sebahagian besar hutang lama.
Menurut laporan media sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan TRW, Dato’ Mohd Irwan Rizal memaklumkan pasukannya memperuntukkan bajet sebanyak RM6 juta untuk mengharungi saingan musim ini.
“Pasukan Kelantan dibina semula dari bawah. Hanya 3 orang pemain lama berada dalam skuad 27 orang (pemain). 24 (orang) adalah (pemain) baru. 9 daripadanya adalah pemain import. 11 daripada pemain lokal adalah anak Kelantan.” tulis Annuar menerusi akaun Facebook peribadinya.
“Pasukan ini bukan pasukan terkuat atau ‘dream team’ (pasukan impian). Ia dibina dengan bajet paling kecil memandangkan sebahagian besar bajet terpaksa digunakan untuk melunaskan sebahagian besar hutang lama.” tambahnya.

Pada Selasa, Annuar mengesahkan sekatan pendaftaran yang dikenakan oleh badan induk, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Kelantan TRW telah ditarik sekaligus membolehkan mereka mendaftarkan pemain-pemain baharunya untuk menghadapi Liga Super 2025-2026 bermula hujung minggu ini.
Sekeping surat kiriman Ketua Disiplin FIFA turut dikongsikan Annuar di akaun Facebook peribadinya yang menunjukkan bekas pemainnya pada musim lalu, Layth Kharoub telah menerima bayaran tunggakan gaji yang tertunggak.
Selepas sekatan perpindahan itu ditarik semula, Kelantan TRW tampil mengumumkan senarai lengkap 27 pemain yang didaftarkannya bagi musim ini termasuk sembilan pemain import terdiri daripada Damyan Damyanov (, Yusuf Sesay, Alexandre Yeoule, Simen Lyngbø, Habib Haroon, Albert Kang, Prince Aggreh, Abdul Sesay dan Ifedayo Olusegun.
“Ops menyelamat dan menghidupkan pasukan Liga Super Kelantan akhirnya berjaya disempurnakan. Kelantan TRW kini bersedia memulakan aksinya di liga tertinggi bola sepak Malaysia. (Negeri) Kelantan mengekalkan kehadirannya di Liga Super.” ujarnya.
Untuk makluman, Annuar meletakkan sasaran Kelantan TRW bimbingan E. Elavarasan menghuni kelompok sepuluh terbaik bagi saingan Liga Super 2025-2026.
Featured Image: Facebook Tan Sri Annuar Musa