PM Anwar Mahu Olympic House Siap Lebih Awal
Hafiz Omar

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bakal mempunyai sebuah ibu pejabat baharu, Olympic House, bertempat di Kompleks Sukan Kuala Lumpur (KL Sports City), Bukit Jalil – berdekatan dengan Stadium Hoki Nasional tidak lama lagi.
Satu majlis pecah tanah bagi pembinaan bangunan tersebut telah berlangsung pada hari ini di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Majlis itu turut disertai oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; Presiden MOM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria serta Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Filipina, Abraham Tolentino dan Presiden Persekutuan Badminton Dunia merangkap Presiden Persatuan Badminton Thailand, Khunying Patama Leeswadtrakul.
Ketika berucap dalam majlis berkenaan, Anwar mengingatkan kepada pemaju, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) – pemaju induk KL Sports City – agar siap lebih awal daripada dijadualkan.

“MRCB, ingat, mesti siapkan bukan mengikut jadual tetapi lebih awal,” ujar Anwar sebelum mengakhiri ucapannya di majlis itu.
Norza ketika ditemui selepas majlis terbabit memaklumkan Olympic House yang turut direka bentuk oleh MRCB itu memerlukan tempoh masa pembinaan antara 24 hingga 36 bulan. Kos keseluruhan pembinaan ini adalah RM103 juta dimana RM93 juta diperolehi daripada MRCB hasil perjanjian pertukaran tanah.
Untuk pengetahuan semua, Olympic House setinggi lima tingkat itu bakal dibina di atas tanah seluas 5.83 ekar dengan keluasan lantai kasar 140,973 kaki persegi.
Apabila siap kelak, ianya akan menawarkan pelbagai kemudahan dan fasiliti seperti unit pejabat untuk Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), auditorium yang mampu memuatkan 300 tetamu, pusat sumber, bilik mesyuarat, bilik sidang media, pusat operasi, kafeteria, surau galeri, muzium dan lain-lain.

Selain itu, reka bentuk Olympic House turut menekankan kepimpinan kelestarian alam. Antaranya ia akan dilengkapi dengan papan tanda berkuasa solar, pencahayaan pintar, sistem tadahan air hujan, pengudaraan semula jadi serta penggunaan lekapan tenaga rendah.
Lebih 26% kawasan tapaknya pula diperuntukkan kepada ruang hijau, dengan tumbuhan tempatan dan permukaan bernafas yang membolehkan penyerapan air semua ke tanah. Antara lain, ia turut merangkumi sistem pengecasan kenderaan elektrik (EV), kawasan letak kereta mesra alam dan akses mudah ke pengangkutan awam.
Kemudahan serba moden dan hijau ini dibina untuk menggantikan ibu pejabat MOM sedia ada, Wisma MOM yang siap dibina pada tahun 1991 bertempat di Jalan Hang Jebat berhampiran dengan Stadium Merdeka dan Stadium Negara.
Menerusi pembinaan Olympic House ini, Bukit Jalil kini diiktiraf sebagai hab sukan utama negara dan perpindahan itu nanti meletakkan pejabat MOM dalam capaian segera ke venue ternama negara seperti Stadium Nasional dan Axiata Arena.
@sukanzcom Olympic House 🇲🇾
♬ original sound – Sukanz