FC Jerantut Lancar Jersi Ketiga Corak Celoreng Monokrom – Simbolik Gua Kota Gelanggi

August 8, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab amatur yang beraksi dalam divisyen keempat bola sepak tanah air, FC Jerantut tampil melancarkan jersi ketiganya dengan rekaan menarik bercorak celoreng monokrom – warna hitam, kelabu dan putih.

Menariknya, gabungan tiga warna serta corak itu inspirasi elemen semula jadi tempatan sekaligus menjadi simbolik kepada warna dan tekstur Gua Kota Gelanggi yang terletak di Jerantut – salah satu sistem gua batu kapur tertua di semenanjung Malaysia.

Dilancarkan secara rasmi pertengahan minggu ini, jersi keluaran jenama pakaian sukan tempatan, Voltra itu turut disuntik elemen hikayat dongeng tempatan dengan diberikan nama Sang Kelembai – makhluk mitos yang boleh menyumpah segala benda menjadi batu.

Untuk makluman, penggunaan nama itu seiring dengan tema wira dan warisan sejak mereka lancarkan jersi “home” (biru) dan “away” (perang cerah) yang diberikan nama Pawang Nong dan Raja Laksamana Petir. 

Bertambah unik, jersi ketiga ini turut menampilkan kelainan dengan menggunakan logo monogram yang menggabungkan aksara F, C dan J – direka khas mewakili identiti FC Jerantut.

Berbanding jersi “home” dan “away” yang dilancarkan sekitar pertengahan Jun lalu, ianya menggunakan logo tradisinya berbentuk bulat dihiasi pokok dan sungai yang melambangkan Taman Negara.

Dikongsikan kepada Sukanz, hampir 500 helai jersi “home” dan “away” berjaya dijual sejak dilancarkan oleh kelab yang memiliki sekitar 14,000 pengikut di pelbagai platform media sosial ini.

Bagi jersi ketiga, tanda harga yang diletakkan adalah RM70 sehelai dan pembelian boleh dilakukan dengan berhubung menerusi akaun media sosialnya, FC Jerantut.

Selain itu, pihak kelab turut memaklumkan membuka reruai (booth) di Kompleks Sukan Jerantut pada Sabtu (9hb Ogos) sempena aksi FC Jerantut bertemu TJ Rovers merebut tempat ke suku akhir Liga Amatur Pahang.

Featured Image: FC Jerantut

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd