
Danish Iftikbar Muhammad Roslee, 18 tahun, mengharumkan nama negara dan universitinya apabila lariannya dalam acara pecut 100 meter (m) berhasil membutirkan pingat gangsa di Kejohanan World Athletics Continental Tour Bronze 2025 yang berlangsung pada Ahad lalu di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India.
Danish yang menuntut di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dalam jurusan Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan itu menamatkan larian dengan catatan masa 10.50 saat (s) sekaligus melengkapkan podium bersama Azeem Fahmi (Malaysia) dan Chamod M. Yodhasing (Sri Lanka) yang merangkul kilauan emas dan perak masing-masing.
Pencapaian tersebut mendapat perhatian Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan menyifatkannya sebagai bukti bahawa UPSI bukan sahaja unggul dalam bidang akademik malahan menjadi institusi peneraju dalam atlet berprestasi tinggi.
“Kejayaan Danish ini adalah bukti bahawa pelajar UPSI mampu bersaing di peringkat antarabangsa.”
“Semangat juang yang beliau tunjukkan seiring dengan visi UPSI untuk melahirkan graduan seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan kecergasan fizikal.” katanya.
Tambahnya, UPSI akan terus memberikan sokongan sepenuhnya kepada atlet-atlet melalui pelbagai program pembangunan bakat, penyediaan fasiliti latihan bertaraf antarabangsa serta bimbingan tenaga pengajar berpengalaman.
“Pencapaian ini diharap menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga UPSI untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata pencapaian ini wajar menjadi inspirasi kepada penuntut lain untuk berani mencabar kemampuan diri di pentas dunia.
“Kemenangan ini adalah hasil daripada latihan intensif, semangat yang tidak pernah luntur, dan sokongan padu semua pihak. Danish telah membuktikan bahawa mahasiswa UPSI mampu mengharumkan nama negara jika diberikan peluang dan ruang.”
Menurutnya, pihak universiti komited untuk terus memperkukuh program seperti Malaysia Juara kerana ia terbukti berjaya melahirkan atlet yang mampu mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Kami percaya lebih ramai pelajar akan mengikuti jejak langkah Danish dalam membawa nama universiti dan negara ke mercu kegemilangan,” katanya lagi.
Untuk makluman semua, catatan masa 10.50s oleh Danish itu menjadi rekod peribadi terbaiknya selepas memecahkan catatan masa terbaiknya, 10.56s, dilakukan di Cahya Mata Super Series MA International Meet 2025 pada awal Mei lalu.