Edisi Sulung UniSZA International Youth Cup Sasar Penyertaan 120 Pasukan

August 12, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Satu kejohanan bola sepak melibatkan pelbagai peringkat umur berstatus antarabangsa bakal berlangsung di Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) pada 13hb dan 14hb September kelak.

Penganjuran oleh Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids itu menyasarkan penyertaan maksimum sebanyak 120 pasukan dan ketika ini telah menerima pendaftaran sebanyak 72 pasukan dari seluruh negara termasuk dari negara jiran tetangga iaitu Indonesia dan Singapura.

Sebanyak empat kategori umur dipertandingkan iaitu bawah 8 tahun (B-8), bawah 10 tahun (B-10), bawah 12 tahun (B-12) dan bawah 14 tahun (B-14) dan kesemua pasukan yang terlibat akan berentap merebut kejuaraan di Stadium UniSZA, Kampung Gong Badak.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Professor Madya Dato’ Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff @ Che Abdullah menjelaskan kekuatan UniSZA selaku tuan rumah adalah fasiliti-fasiliti di pusat sukan universiti ini diiktiraf oleh badan-badan induk sukan dunia sekaligus menjadi tambah nilai untuk penganjuran edisi sulung kejohanan itu nanti.

“Tambah nilai terbaik buat setiap pasukan bertanding sudah tentu tumpuan untuk menggunakan padang sintetik yang baru siap dibina di mana padang ini juga mendapat pengiktirafan FIFA selaku badan induk dunia sukan bola sepak untuk kami menganjurkan sebarang kejohanan bertaraf antarabangsa.” katanya.

“Selain dari padang sintetik itu, lain-lain fasiliti sukan yang terdapat di Pusat Sukan UniSZA ini sememangnya mempunyai pengiktirafan daripada badan induk sukan masing-masing yang secara tidak langsung memberi tambah nilai buat UniSZA sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang turut memfokuskan kecemerlangan sukan di kalangan pelajar-pelajar ini.” tambahnya lagi.

Jelasnya lagi, UniSZA melalui Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids mengambil inisiatif selaku penganjur di atas semangat tanggungjawab sosial untuk mengangkat martabat akademi-akademi bola tempatan ke pentas yang lebih tinggi sekaligus memberi cabaran baharu untuk bakat-bakat muda beraksi di kejohanan yang kompetitif.

Ini juga merupakan sebahagian daripada kerangka pelan strategik program pembangunan sukan bola sepak di bawah kelolaan UniSZA menerusi Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids yang telah bermula sejak dua tahun lalu.

Untuk rekod, penganjuran kejohanan bola sepak berstatus antarabangsa ini merupakan yang pertama kali seumpamanya melihat sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri pantai timur sebagai tuan rumah. Selain itu, penganjur turut memaklumkan kejohanan ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd