Sabah FC Sedia Hadapi Skuad The City Boys
August 13, 2025 Hafizuddin Omar

Sabah FC bersedia mengharungi cabaran sengit menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi permulaan liganya yang akan berlangsung pada malam ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Jurulatih Sabah FC, Alto Linus menegaskan, pertemuan ini bukanlah tugas mudah memandangkan KL City FC turun dengan motivasi tinggi selepas membenam Imigresen FC dengan keputusan 3 – 0 dalam aksi sulung mereka Sabtu lalu. 

Tambahan pula skuad berjulukan The City Boys selaku tuan rumah pastinya lebih bersemangat untuk turun menentang Sabah FC dengan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

Sebelum bermula saingan musim ini, Sabah FC tampil membentuk skuadnya dengan mengekekalkan sebahagian besar muka-muka lama disamping menambah beberapa pemain baharu. 

Persiapan Sabah FC menjelang saingan musim baharu ini dilabelkan sebagai baik dan jurulatihnya, Alto Linus, melihat pemain-pemainnya dapat menyesuaikan diri dengan latihan dan corak permainan yang diterapkan oleh barisan kejurulatihan.

“Walaupun kita sedar mereka berada dalam prestasi baik, kita tetap optimis dan mempunyai perancangan serta strategi tersendiri untuk mengharungi perlawanan ini,” jelas Alto.

“Musim ini, KL City FC memiliki pemain yang berkualiti seperti Safawi Rasid dan (Manuel) Hidalgo. Namun, saya percaya pemain-pemain kita tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengekang ancaman tersebut. Fokus dan disiplin taktikal menjadi kunci utama malam ini,” tambahnya.

Pertembungan melibatkan KL City FC dan Sabah FC dijadualkan bermula pada jam 9:00 malam ini dan ianya dijangka menjanjikan aksi menarik buat para penonton memandangkan kedua-duanya memiliki misi besar untuk permulaan musim ini.

Komen