
Jenama penjagaan diri lelaki terkemuka di Malaysia, Dashing, tampil melancarkan Biasiswa Bakat Dashing – sebuah inisiatif pencarian bakat bola sepak peringkat kebangsaan yang direka untuk mengangkat pemain muda berpotensi ke pentas antarabangsa.
Menerusi inisiatif ini, seramai tiga pemain bola sepak muda yang menunjukkan prestasi cemerlang akan dipilih daripada 120 peserta yang disenarai pendek untuk dibawa berlatih di Pusat Latihan Tottenham Hotspur di London – salah satu kelab yang beraksi dalam kancah Premier League.
Biasiswa Bakat Dashing ini menyasarkan golongan remaja lelaki Malaysia berusia antara 15 hingga 18 tahun.
Bagi yang berminat untuk memburu tiga slot bagi berlatih di England tersebut, pertamanya, peserta perlu menghantar klip video berdurasi pendek mempamerkan kemahiran atau skil dalam bola sepak.

Selepas itu, klip video itu boleh dihantar ke akaun rasmi Instagram dan Tiktok Biasiswa Bakat Dashing (@biasiswabakatdashing).
Panel jurulatih yang berwibawa akan menilai semua penyertaan dan menyenarai pendek 120 pemain paling berpotensi untuk dijemput menghadiri Kem Identifikasi Bakat Eksklusif bertempat di Arena Sukan, Kuala Lumpur pada Oktober 2025.
Kem ini akan dikendalikan oleh Jurulatih Pembangunan Global Tottenham Hotspur sambil disertai juga oleh jurulatih tempatan dengan siri penilaian berstruktur, latihan intensif dan sesi pembangunan bakat yang bertujuan mengenal pasti pemain berpotensi untuk cemerlang di peringkat antarabangsa.
Menurut Dashing, dengan melabur dalam pembangunan akar umbi dan pendedahan antarabangsa, Dashing berhasrat menyumbang kepada ekosistem bola sepak negara yang sedang berkembang maju.
Sementara itu, Dashing juga memaklumkan setiap pembelian produk jenamanya, RM1 daripada setiap pembelian itu akan disumbangkan kepada Biasiswa Bakat Dashing.