SUKMA 2026 Senaraikan 3 Lagi Sukan Tambahan – Muaythai, Petanque & Silamban

August 14, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menyaksikan pertambahan tiga lagi sukan pilihan iaitu muaythai, petanque dan silamban sekaligus menyaksikan temasya yang akan berlangsung di Selangor itu mempertandingkan 37 jenis sukan secara keseluruhan.

Pertambahan tiga sukan pilihan itu dipersetujui oleh semua ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi SUKMA selepas dicadangkan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII 2026, YB Najwan Halimi.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi satu kenyatan media yang disiarkan pada hari ini selepas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA bermesyuarat.

Susulan penambahan itu, Temasya SUKMA XXII Selangor 2026 akan mempertandingkan 30 sukan wajib serta tujuh sukan pilihan dan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA turut memutuskan tiada lagi cadangan atau rayuan penambahan sukan akan dipertimbangkan lagi.

Untuk makluman, SUKMA Selangor 2026 itu dijadualkan berlangsung dari 15hb Ogos hingga 24hb Ogos 2026 di sembilan daerah di seluruh negeri Selangor.

Dalam kenyataan yang sama, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji inisiatif penganjuran ‘Non-SUKMA Games’ bagi sukan-sukan yang tidak terpilih ke SUKMA dan model penganjuran baharu penganjuran SUKMA selepas temasya SUKMA Kelantan 2028.

Kajian itu dilaksanakan bagi menjami kesinambungan pembangunan sukan dan atlet tanpa membebankan peruntukan Kerajaan dari aspek penganjuran.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd