ACLE: JDT Hadap 3 Kelab Jepun Di Peringkat Liga

August 15, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tiga kelab dari negara matahari terbit, Jepun, menjadi lawan buat Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Peringkat Liga bagi Zon Timur dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2025-2026.

Kelab-kelab tersebut adalah juara, naib juara dan penghuni tempat ketiga Liga J1 2024 iaitu Vissel Kobe, Sanfrecce Hiroshima dan Machida Zelvia masing-masing.

Ketiga-tiganya menjadi lawan buat Harimau Selatan selepas berlangsung Majlis Undian bagi saingan ACLE di Intercontinental Hotel Kuala Lumpur, pada hari ini.

Majlis itu juga menyaksikan JDT bertemu dengan tiga kelab dari negara tembok besar, China, iaitu juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga Liga Super China (CSL) iaitu Shanghai Port, Shanghai Shenhua dan Chengdu Rongcheng masing-masing.

Sementara itu, dua lagi lawan buat skuad bimbingan Xisco Munoz adalah Melbourne City dari Australia serta seteru serantaunya, Buriram United. 

Lapan daripada 12 kelab yang menghuni tangga teratas Peringkat Liga bagi Zon Timur akan melangkah ke saingan kalah mati.

Untuk makluman, JDT akan membuka kempen Peringkat Liga sekitar pertengahan September kelak dan berakhir pada awal Mac 2026.

Featured Image: AFC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd