Manchester United Kalah Tetapi Permainan Handal – PM Anwar
Hafiz Omar

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberikan pujian terhadap corak permainan kelab bola sepak kegemarannya, Manchester United biarpun tewas di tangan Arsenal pada aksi sulung Premier League (PL) 2025-2026, malam tadi.
Statistik menunjukkan anak-anak buah Ruben Amorim mendominasi majoriti aspek permainan mengatasi Arsenal seperti melakukan 22 percubaan dengan tujuh daripadanya tepat ke sasaran, menguasai 62% permainan serta melakukan 475 hantaran dengan ketepatan sebanyak 82%.
Sebagai perbandingan, Arsenal yang turun sebagai pasukan pelawat pula hanya melakukan sembilan percubaan dengan hanya tiga tepat ke sasaran, menguasai 38% permainan serta melakukan 294 hantaran dengan ketepatan sebanyak 74% sahaja.
“Semalam Manchester United kalah 0-1, tetapi permainannya itu handal, kalau ikut daya tahannya, daya juangnya, saya menangkan Manchester United,” katanya memulai ucapan dalam Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Ogos Tahun 2025.
“Itulah adat kesukanan, sportsmanship, kita mungkin ada sentimen mendukung tetapi kita terima (keputusan) dengan baik,” tambahnya dalam majlis yang berlangsung di Dewan De’ Seri Endon Puspanitapuri, Putrajaya, pagi tadi.
Dalam perlawanan tersebut, Arsenal yang dikendalikan oleh Mikel Arteta melakar kemenangan hasil tandukan oleh Riccardo Calafiori pada minit ke-13 selepas Altay Bayindir gagal menumbuk keluar bola sepakan sudut oleh Declan Rice.
Selepas bolos jaringan terbabit, skuad berjulukan Red Devils mengatur beberapa serangan diketuai oleh Bryan Mbeumo, Matheus Cunha termasuk pemain gantian, Benjamin Sesko namun kekentalan barisan pertahanan Arsenal dan kecermerlangan Divid Raya membuat Arsenal berjaya mempertahankan gawangnya daripada bolos sehingga pengadil, Simon Hooper meniup wisel menamatkan permainan.
Untuk perlawanan seterusnya, Manchester United akan bertandang ke Craven Cottage untuk berentap dengan Fulham, sepak mula dijadualkan jam 11.30 malam, Ahad (waktu Malaysia), bagi aksi kedua PL musim ini.
Featured Image: IZZUDDIN ABD RADZAK / Pejabat Perdana Menteri