Harimau Malaya Beraksi Di Dua Venue – Lawan Singapura & Palestin
August 18, 2025 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya akan beraksi di dua venue pada Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA yang akan berlangsung dari 1hb hingga 9hb September 2025.

Menerusi satu poster yang dikongsikan oleh Malaysia NT, skuad bimbingan Peter Cklamovski akan turun di Stadium Nasional Bukit Jali (SNBJ), Kuala Lumpur pada 4hb September untuk bertemu Singapura.

Untuk pengetahuan semua, Singapura yang kini berada di ranking 159 dunia sedang dikendalikan secara ‘interim’ oleh Gavin Lee – bekas ketua jurulatih BG Tampines Rovers FC.

Pencarian ketua jurulatih baharunya masih berjalan dengan laporan media dari negara seberang tambak memaklumkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyenarai pendek lima individu merangkumi bekas penolong jurulatih Tottenham Hotspur, Nick Montgomery. 

Selang empat hari menentang skuad negara jiran tetangga itu, Harimau Malaya akan berkelana ke selatan semenanjung tanah air untuk berhadapan Palestin – pasukan yang menghuni ranking ke-98 dunia.

Harimau Malaya akan berhadapan dengan skuad yang terkandas di Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia FIFA 2026  itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) – stadium milik kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Tazím (JDT).

Sebagai rekod, Singapura dan Palestin dipilih sebagai lawan buat Harimau Malaya pada September selepas menarik diri daripada saingan Piala Negara-Negara CAFA 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 29hb Ogos hingga 8hb September.

Featured Image: Malaysia NT

Komen