Cabutan Bertuah Pada Semua Aksi Liga Super – CEO NSFC
Hafiz Omar

Skuad berjulukan The Jangs, Negeri Sembilan FC (NSFC) menampilkan satu program istimewa buat pemegang Kad Keahlian “Hobin” NSFC sepanjang saingan Liga Super musim 2025-2026.
Menerusi perkongsian oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Faliq Firdaus, program tersebut adalah cabutan bertuah yang eksklusif buat pemegang kad keahlian mereka.
Program tersebut akan bermula daripada perlawanan menentang Selangor FC, 24hb Ogos, pada rehat separuh masa.
Faliq turut mendedahkan seramai 700 orang telah mendaftarkan diri sebagai pemegang Kad Keahlian “Hobin” NSFC setakat ini.
“Semakin besar angka (pendafataran), semakin besar ganjaran sehingga ke penghujung musim.” kongsinya menerusi satu hantaran di akaun X peribadinya.
Difahamkan, antara hadiah yang ditawarkan adalah jersi bertandatangan, pas VIP dan barangan edisi terhad.
Untuk makluman, kad keahlian itu membolehkan mana-mana individu khususnya penyokong skuad The Jangs menjadi sebahagian daripada keluarga NSFC secara rasmi.
Pemegang kad tersebut akan mendapat diskaun 5% untuk pembelian barangan di Warrix Concept Store Rahang & Galaxy Sports seluruh negara. Bukan itu sahaja, mereka turut mendapat diskaun khas di restoran, kedai dan premis yang menyertai program “Rakan Niaga Tempatan NSFC”.
Antara lain, pemegang kad ini juga akan mendapat akses awal pembelian tiket perlawanan dan menyertai acara khas yang dijalankan oleh pihak kelab.
Featured Image: Negeri Sembilan FC