Salah Hatrik Anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA

August 20, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang Liverpool kelahiran Mesir, Mohamed Salah sekali lagi dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Lelaki Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) 2024-25.

Perkembangan itu menjadikan pemain berusia 33 tahun berkenaan selaku pemain pertama memenangi anugerah berprestij itu sebanyak tiga kali selepas merangkulnya pada musim 2017-18 dan 2021-22. 

Anugerah terbabit menjadi miliknya selepas melalui musim yang cemerlang bersama skuad berjulukan The Kops dengan menjaringkan 29 gol membantu kelabnya meraih kejuaraan Premier League (PL) 2024-25.

Jumlah jaringan itu juga membolehkan Salah menggondol Kasut Emas buat kali keempat dalam kariernya di England.

Bukan sahaja tajam di hadapan gawang, Salah turut merekodkan 18 bantuan gol pada musim lalu dalam kancah yang sama – angka tertinggi dalam kariernya. Hanya Thierry Henry, Kevin de Bruyne dan Mesut Ozil sahaja pernah merekodkan angka lebih tinggi daripada itu.

Secara keseluruhan, Salah membutirkan 34 gol dan 23 bantuan gol daripada 52 penampilannya dalam semua pertandingan sepanjang musim 2024-25.

Untuk makluman, Salah merangkul anugerah selepas mengumpul undian tertinggi mengetepikan Bruno Fernandes, Alexander Isak, Cole Palmer, Declan Rice termasuk rakan sepasukannya, Alexis Mac Allister.

Sebagai tambahan, antara nama besar dalam saingan PL yang pernah menjuarai anugerah ini sebanyak dua kali ialah Alan Shearer, Thierry Henry, Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan Kevin de Bruyne.

Featured Image: PFA 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd