Piala Shopee: Selangor FC Tercicir 2 Mata, Kutip 5 Kad Kuning
Hafiz Omar

Naib juara Liga Super Malaysia, Selangor FC terlepas peluang untuk membawa pulang tiga mata penuh daripada aksi sulung peringkat Kumpulan A dalam saingan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee 2025-26.
Biarpun mendahului 1-0 hasil jaringan Chrigor Moraes pada minit 38, skuad Gergasi Merah terpaksa akur membawa pulang satu mata apabila Buriram United FC menemui gol penyamaan pada minit 90+6.
Peter Zulj menjadi penyelamat buat Buriram United apabila tandukannya itu berhasil menerjah ke dalam gawang tatkala penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz terkeluar dari posisi yang membolehkannya menepis bola tersebut.
Kesilapan itu dilakukan oleh Kalamullah selepas cemerlang mempertahankan gawangnya daripada serangan balas tepat ke sasaran yang dilakukan oleh Buriram United sepanjang perlawanan.
Selain daripada keciciran dua mata, perlawanan terbabit turut menyaksikan skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi dilayangkan lima kad kuning – Quentin Cheng, Harith Haiqal, Kalamullah, Kevin Deeromram dan Richmond Ankrah.
Keputusan pada malam ini meletakkan Buriram United dan Selangor FC di tangga ketiga dan keempat masing-masing lepas mengharungi satu perlawanan.
Kelab Singapura iaitu BG Tampines Rovers FC mengungguli Kumpulan A selepas membantai Dynamic Herb Cebu FC dengan keputusan 3-1. Manakala BG Pathum United pula di tangga kedua susulan mencetak kemenangan 2-1 ke atas Cong An Ha Noi FC.
Untuk perlawanan seterusnya, Selangor FC akan melayan kunjungan BG Tampines Rovers FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 24hb September.
Featured Image: Selangor FC