F1 Bukan Satu Keperluan Bagi Malaysia Buat Masa Ini – Hannah Yeoh

August 21, 2025
Permotoran

Hafiz Omar

“Malaysia tidak merancang menganjurkan kejohanan Formula 1 (F1) memandangkan kos yuran hak penganjuran dan penyediaan fasiliti yang tinggi dan kalendar perlumbaan yang padat.” demikian jawapan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis pertanyaan jawab lisan Dewan Rakyat bagi menjawab soalan samada Malaysia akan menghoskan semula perlumbaan F1 oleh Ahli Parlimen Sibu, YB Oscar Ling Chai Yew.

Dalam jawapannya, Hannah berkongsikan bahawa dana yang diperlukan untuk membayar yuran hak penganjuran bagi membawa masuk perlumbaan F1 ke Malaysia amat tinggi – sekitar RM300 juta setahun. 

Selain itu, kontrak yang diikat dengan pemilik kejohanan, Liberty Media memerlukan tempoh antara 3 sehingga 5 tahun, secara amnya, dan perjanjian itu sendiri akan melibatkan komitmen kewangan sekitar RM1.5 bilion bagi tempoh tersebut.

Pada masa yang sama, Hannah turut menyelitkan kos penyediaan litar dan penganjuran acara yang memerlukan dana sebanyak RM10 juta setahun. Perkara ini penting bagi memastikan keselamatan litar dan fasiliti sokongan menepati piawaian penarafan homologasi litar Gred 1 Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Sementara itu, kalendar perlumbaan F1 sangat padat pada ketika ini berbeza ketika Malaysia menjadi penganjur terutamanya buat julung kalinya pada tahun 1999 – negara pertama di rantau asia tenggara menganjurkan F1.

Sekiranya Malaysia berminat menganjurkan semula F1, Malaysia perlu bersaing dengan Singapura yang menjadi penganjur sejak 2008 serta Thailand yang bakal menjadi destinasi baharu perlumbaan F1 bermula tahun 2028.

“Penganjuran oleh negara lain dalam rantau asia tenggara boleh menjejaskan pulangan penganjuran di Malaysia.” jelas Hannah lagi.

Bagaimanapun, Hannah memaklumkan Malaysia tidak menutup peluang sepenuhnya untuk F1 kembali ke Malaysia jika ada pihak korporat yang berminat untuk menampung keperluan bagi yuran hak penganjuran F1.

“Pihak yang berminat boleh menghubungi SIC untuk perbincangan lanjut.” tambahnya.

Di akhir jawapannya, Hannah memberitahu SIC kini menumpukan semua usahanya kepada penganjuran acara MotoGP di Malaysia yang mampu memberikan nilai dan manfaat ekonomi yang lebih tinggi dengan kos yuran hak penganjuran jauh lebih rendah – hanya suku daripada kos yuran hak penganjuran F1.

Featured Image: Mercedes-AMG Petronas F1 Team

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd