Ubaidullah Waspada Kelibat Miguel, Ramadhan
Hafiz Omar

Kelibat Miguel Oliveira dan Ramadhan Sananta di barisan serangan nampaknya telah menghasilkan tiga gol buat DPMM FC dalam saingan Liga Malaysia.
Catatan gol itu telah membantu kelab jemputan dari Brunei itu mengikat PDRM FC dalam aksi pertama liga serta menumpaskan Kuching City FC pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA.
Prestasi pemain dari Portugal dan Indonesia masing-masing itu mendapat perhatian pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili serta menganggap kedua-duanya mampu memberikan ancaman kepada pasukannya menjelang aksi ketiga Liga Super 2025-26.
“Sebagai pertahanan, saya sedar dengan kualiti dua pemain lawan iaitu Ramadhan dan Miguel berdasarkan aksi mereka sebelum ini, jadi kita memang tidak boleh pandang rendah dengan kebolehan pasukan itu.”
“Apatah lagi selepas kami tewas kepada Imigresen FC minggu lalu, ia macam bagi satu petanda awal kepada kami untuk tidak ambil mudah mana-mana perlawanan selepas ini.”
“Dan ianya kerana kami tak dapat gunakan peluang menjaringkan gol dan gagal untuk bertahan dengan baik, jadi kita kena ubah benda itu.”
“Setakat 3 perlawanan ini, saya masih lagi mencari konsistensi dalam prestasi saya untuk perbaiki kelemahan-kelemahan kecil yang ada selepas ini,” katanya.
Terengganu FC bimbingan Badrul Afzan akan bertandang ke Stadium Sultan Hassanal Bolkiah pada malam esok, Jumaat, untuk bertemu DPMM FC.
Skuad berpangkalan di pantai timur itu kini mengumpul 4 mata daripada dua aksi awal Liga Super selepas mencetak kemenangan ke atas Penang FC dan seri bertemu PDRM FC.
Sementara itu, DPMM FC kendalian James Reynold McAllister pula mengutip 1 mata ketika seri bertemu PDRM FC. Manakala aksi kedua bertemu naib juara musim lalu, Selangor FC, berakhir dengan kekalahan.
Featured Image: Terengganu FC