Negeri Sembilan FC vs Selangor FC – 10,000 Tiket Telah Terjual

August 22, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pertembungan Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Selangor FC (SFC) bagi aksi minggu ketiga Liga Super 2025-26 nampaknya bakal berlangsung meriah dan dalam suasana yang menggamatkan.

Ini selepas pasukan tuan rumah, NSFC memaklumkan sebanyak 10,000 tiket untuk menyaksikan perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu telah terjual setakat jam 4 petang tadi.

Jualan itu pastinya didorong oleh beberapa faktor yang menarik seperti kemenangan besar NSFC dalam aksi Piala FA baru-baru ini, pertembungan Nidzam Jamil dengan bekas kelabnya serta menilai kemampuan ‘projek baharu’ skuad NSFC dengan SFC – salah satu daripada pasukan terkuat tanah air.

Selain itu, penyokong pasukan lawan pula pastinya mengambil peluang untuk turun memberikan sokongan memandangkan venue perlawanan itu hanya dipisahkan dengan jarak sekitar 80 kilometer (KM) dengan gelanggang keramat mereka, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pada masa yang sama, SFC berjulukan Gergasi Merah juga dalam prestasi terbaiknya selepas mengikat kelab handalan ASEAN dari Thailand, Buriram United FC dalam saingan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee, Rabu lalu.

Dijangka jualan tiket itu bakal meningkat dan tidak mustahil habis terjual dalam tempoh terdekat sebelum sepak mula yang dijadualkan pada jam 9 malam, Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Faliq Firdaus memaklumkan kapasiti Stadium Tuanku Abdul Rahman pada ketika ini berjumlah 23,000 orang dimana teres bawah mampu memuatkan 15,000 penonton sementara teres atas pula boleh menempatkan 8,000 penonton.

Sebagai rekod, setelah berlangsungnya perlawanan minggu kedua Liga Super, aksi yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan SFC merekodkan kehadiran tertinggi setakat ini dengan catatan 32,777 orang.

Featured Image: Negeri Sembilan Football Club

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd