Ini Aksi Paling Teruk Dalam Hidup Saya – Ketua Jurulatih SFC
Hafiz Omar

Ketua jurulatih Selangor FC (SFC), Katsuhito Kinoshi menyifatkan kekalahan pasukannya di tangan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan ketiga Liga Super 2025-26 sebagai aksi paling teruk dalam hidupnya.
Pengendali berusia 60 tahun yang pernah berkhidmat di China dan Serbia selain negara kelahirannya, Jepun melontarkan kekecewaan sedemikian selepas Gergasi Merah tewas pada minit-minit akhir permainan selepas mendahului di awal permainan.
Bertambah kecewa, kekalahan itu terjadi atas kesilapan mereka sendiri kerana tidak menyempurnakan peluang-peluang yang terhidang untuk mencari gol kedua dan ketiga di sepanjang perlawanan.
“Ini aksi paling teruk dalam hidup saya, teruk, aksi paling teruk, bagi saya aksi hari ini (semalam) paling teruk dalam hidup,”
“Bermain baik tetapi untuk saya keputusan (tewas) dan mereka tak dapat jaringkan gol kedua, (bolos) gol saat-saat akhir sebegitu, bagi saya itu merupakan aksi paling teruk, jadi saya tak mahu ianya menjadi semakin teruk dan terus melangkah ke hadapan untuk perlawanan seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Jaringan saat akhir itu muncul pada minit 90+3 menerusi pemain gantian, Mio Tsuneyasu. Gol penyamaan turut dijelmakan oleh pemain berusia 23 tahun berkenaan kira-kira sepuluh minit sebelumnya.
Sebelum menjelmanya dua gol oleh NSFC, anak-anak buah Kinoshi memperoleh beberapa peluang untuk menjaringkan gol kedua selepas mendahului menerusi pertahanannya, Richmond Akrah seawal minit 12.
Kekalahan pada malam tadi meletakkan SFC di tangga ketujuh dengan tiga mata selepas mengharungi tiga perlawanan sementara NSFC pula di tangga keenam.
Untuk perlawanan seterusnya, SFC akan melayan kunjungan Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) pada 27hb Ogos bagi aksi keempat liga musim ini.