Kelab Maklumkan Gabriel Palmero Dipanggil Skuad Harimau Malaya
Hafiz Omar

Bek kiri Sepanyol berketurunan Malaysia, Gabriel Palmero menjadi salah satu nama yang akan menyertai skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya ketika Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA bulan September kelak.
Pengesahan itu hadir menerusi pemberitahuan oleh kelabnya sendiri, Unionistas de Salamanca CF yang beraksi dalam divisyen ketiga bola sepak Sepanyol.
“Gabriel Palmero telah dipanggil oleh skuad kebangsaan Malaysia untuk perlawanan persahabatan menentang Singapura (4 September) dan Palestin (8 September) di Stadium Nasional Bukit Jalil.” tulis pihak kelab dalam satu kenyataan.
Turut dimaklumkan, Palmero akan terbang ke Malaysia sejurus selepas aksi pembukaan liga menentang CA Osasuna B atau lebih dikenali sebagai Osasuna Promesas pada 31hb Ogos.
Pada Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA bulan Jun lalu, Palmero sempat beraksi selama sembilan minit bertemu Vietnam apabila dimasukkan sebagai pemain gantian oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
Palmero merekodkan debutnya bersama Harimau Malaya ketika bertemu Cape Verde dalam perlawanan antarabangsa yang berlangsung pada 29hb Mei di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Untuk makluman semua, Palmero menyertai Unionistas de Salamanca sekitar pertengahan Julai lalu susulan dipinjamkan oleh kelab induknya, CD Tenerife.
Featured Image: Unionistas de Salamanca CF