FAM Pilih Yusoff Mahadi Sebagai Pemangku Presiden – Atas Faktor Paling Lama Berkhidmat
Hafiz Omar

Badan induk bola sepak tanah air, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini diterajui oleh Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi – sehingga ke Kongres yang berikutnya pada tahun hadapan.
Perkembangan itu hadir selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM telah bersetuju untuk menamakan Yusoff sebagai Pemangku Presiden berkuat kuasa serta-merta berikutan perletakan jawatan Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.
FAM dalam satu kenyataan yang disiarkan pada hari ini menjelaskan Yusoff yang juga Presiden Amateur Football League (AFL) dipilih untuk memangku jawatan itu berdasarkan apa yang termaktub di dalam Statut FAM.
“Menurut Artikel 42 Perenggan 7 dalam Statut FAM, jika jawatan Presiden kosong, Timbalan Presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga Kongres seterusnya iaitu tahun hadapan.”
“Kongres tersebut hendaklah memilih Presiden baharu untuk baki tempoh penggal jawatan.” tulis kenyataan terbabit.
Untuk makluman, Joehari yang dipilih sebagai Presiden FAM pada Kongres yang berlangsung pada 15hb Februari lalu telah menghantar surat perletakan jawatan beliau sebagai Presiden, baru-baru ini.
Oleh demikian, Jawatankuasa Eksekutif FAM dipanggil untuk bermesyuarat pada pagi tadi, dipengerusikan oleh Yusoff bagi membincangkan hal tersebut.
Hasil mesyuarat itu menyaksikan Jawatankuasa Eksekutif FAM akur menerima peletakan jawatan oleh Joehari dan menghormati keputusan yang telah dibuat Joehari.
Sebagai rekod, Joehari telah bersama FAM sejak tahun 2017 sebagai Naib Presiden selama dua penggal serta memegang pelbagai portfolio sehingga dilantik sebelum menang tanpa bertanding jawatan Presiden pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61.
Featured Image: Football Association of Malaysia