Saya Tengah Kursus Keusahawanan, Tiba-Tiba Naik Cerita Presiden FAM

August 27, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tajuk berita sebuah portal sukan tanah air “Safee Sali Berminat Jadi Presiden FAM?” disambut dengan pelbagai reaksi oleh peminat bola sepak tempatan namun tuan empunya badan, Safee Sali seakan-akan terkejut kehairanan.

Laporan itu terbit tatkala bekas penyerang prolifik skuad kebangsaan berusia 41 tahun itu sedang mengikuti sebuah kursus anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dipercayai Kursus Asas Industri Akademi Sukan (Sports Academy) yang berlangsung dari 26hb hingga 28hb Ogos 2025.

Laporan itu terbit selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Presiden, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub meletakkan jawatan. Kekosongan itu dipangku oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi sehingga ke Kongres yang akan berlangsung pada tahun hadapan. 

“Saya tengah kursus untuk memperkasakan usahawan dengan Insken (Institut Keusahawanan Negara) tiba-tiba cerita ni (Safee Sali berminat jadi Presiden FAM?) naik.”

“Saya hanya mampu doakan semuanya dipermudahkan demi bola sepak negara kita Malaysia.” katanya menerusi Instagram Story milik akaun peribadinya.

Laporan itu memetik hantaran oleh wartawan, T. Avineshwaran yang menyatakan Safee yang pernah beraksi bersama Selangor, Pelita Jaya, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sarawak, Kuala Lumpur City berminat untuk bertanding jawtan Presiden FAM apabila penggal ini berakhir.

Selain daripada beraksi sebagai pemain dengan pelbagai kelab serta membantu Malaysia menjuarai Piala AFF (kini dikenali sebagai Piala ASEAN) pada edisi 2010, Safee juga pernah menyumbang dalam arena bola sepak selaku Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sejak tahun 2019 sebelum meletakkan jawatan sekitar penghujung Jun lalu.

Featured Image: PFAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd