Piala Carabao: Kelab Divisyen Ke-4 Singkir Manchester United Menerusi Penalti 12-11

August 28, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Juara enam kali, Manchester United tersingkir seawal pusingan kedua daripada saingan Piala Carabao berikutan tumpas mengejut di tangan kelab divisyen keempat England iaitu Grimsby Town.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Blundell Park berkapasiti 9,000 penonton itu, Grimsby Town melakar kemenangan dramatik menerusi penentuan penalti 12-11 selepas sepakan ke-13 oleh Bryan Mbeumo sekadar singgah di palang.

Ketika penentuan itu, Andre Onana sempat menafikan sepakan ketiga Grimsby Town oleh Clarke Oduor. Pada masa yang sama, Matheus Cunha gagal menjaringkan gol ketika mengambil giliran pada sepakan kelima.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam permainan sebenar. Grimsby Town terlebih dahulu mendahului permainan di babak pertama menerusi jaringan oleh Charles Vernam (22’) dan Tyrell Warren (30’).

Manakala Manchester United mengejar dan menyamakan kedudukan itu di babak kedua menerusi gol oleh Bryan Mbeumo (75’) dan Harry Maguire (89’).

Sebagai rekod, ini merupakan kali pertama skuad Red Devils tersingkir di pusingan Piala Liga sejak 2014 berikutan tewas di tangan MK Dons pada musim tersebut.

Featured Image: Grimsby Town Football Club

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd