Kuching City FC Daftarkan Jordan Mintah Kelahiran Ghana Sebagai Pemain Tempatan

August 29, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang kelahiran Ghana yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia sejak musim 2020, Jordan Mintah kini didaftarkan sebagai pemain tempatan oleh kelabnya, Kuching City FC.

Perkembangan itu hadir selepas skuad berjulukan The Cats memaklumkan pemain berusia 29 tahun berkenaan telah melengkapkan proses naturalisasi sekaligus menjadikannya sebagai seorang warganegara Malaysia.

“Jordan Mintah kini salah seorang daripada kita, rakyat Malaysia.” tulis kenyataan oleh pihak kelab sambil mengepilkan sekeping foto Mintah yang dihiasi dengan Jalur Gemilang.

Jordan tiba di bumi Malaysia di penghujung tahun 2019 dengan menyertai Terengganu FC II sebelum dapat menembusi skuad induk, Terengganu FC. Tidak lama kemudian, khidmatnya ditagih oleh Kuala Lumpur City FC secara pinjaman sebelum menyertai Kuching City FC sekitar Mac 2024.

Sepanjang bersama kelab-kelab tersebut, Mintah membuktikan kualitinya selaku penyerang dengan merekodkan 30 gol secara keseluruhan termasuk jaringan di pentas antarabangsa, Piala AFC.

Pada musim lalu, kehadiran Jordan bersama Kuching City FC memainkan peranan penting di bahagian serangan membantu kelab tersebut kelab tersebut menamatkan kempen Liga Super di tangga keempat – pencapaian terbaik sejak kelab itu ditubuhkan.

Untuk makluman, Mintah kini muncul selaku pemain asing kesembilan yang dinaturalisasikan selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Sergio Aguero, Lee Tuck, Romel Morales, Paulo Josue dan Endrick dos Santos.

Featured Image: AFC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd