Kejohanan Dunia BWF: Tang Jie-Ee Wei, Zhen Bang-Ya Xin Rebut Gelaran Juara
August 30, 2025 Hafizuddin Omar

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akan berentap dengan pasangan No.2 dunia, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin untuk merebut gelaran juara bagi Kejohanan Dunia BWF 2025.

Tang Jie-Ee Wei yang berada di ranking kempat dunia mara ke peringkat akhir selepas berhasil menundukkan wakil Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-16.

Kemenangan itu juga membolehkan mereka mencatatkan kemaraan sulung ke perlawanan akhir di pentas Kejohanan Dunia BWF dalam karier masing-masing.

Sementara itu, lawannya, Zheng Bang-Ya Xin pula mara selepas menumbangkan beregu senegaranya, Guo Xin Wa dan Chen Fang Hui menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 11-21, 23-21 dan 21-18.

Melihat kepada rekod pertemuan lalu, ianya tidak begitu berpihak kepada Tang JIe-Ee Wei dengan hanya melakar satu kemenangan daripada empat pertemuan.

Kemenangan tunggal itu tercatat semasa kedua-duanya julung kali bertemu di Masters Orleans 2023 dimana Tang Jie-Ee Wei mencatatkan kemenangan secara  “straight set” menerusi skor 21-14 dan 21-15.

Tiga pertemuan seterusnya di Terbuka Artik 2023, Terbuka Jepun 2024 dan terbaharu, Terbuka Jepun 2025 menyaksikan kemenangan berpihak kepada Zheng Bang-Ya Xin.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen