Isak Kini Milik Liverpool
Hafiz Omar

Penyerang skuad kebangsaan Sweden, Alexander Isak yang meledak 62 gol sepanjang tiga musim bersama Newcastle United kini sah menjadi milik juara bertahan Premier League (PL) iaitu Liverpool.
Pemain berusia 25 tahun yang merupakan penjaring kedua terbanyak PL musim lalu ditandatangani oleh skuad bimbingan Arne Slot sebelum jendela perpindahan musim panas PL ditutup pada pukul 2 pagi tadi (waktu Malaysia).
Kehadiran Isak diumumkan secara rasmi oleh Liverpool menerusi makluman di laman sesawang rasminya selain perkongsian pelbagai hantaran di platform-platform media sosialnya.

Bersama Liverpool, Isak yang beraksi bersama Real Sociedad, Borussia Dortmund, Willem II dan AIK diberikan jersi bernombor 9 – nombor yang pernah digunakan oleh beberapa penyerang terbilang The Reds seperti Roberto Firmino, Fernando Torres, Robbie Fowler dan Ian Rush.
Memetik beberapa laporan antarabangsa, Isak didatangkan oleh Liverpool dengan yuran perpindahan sebesar £125 juta – rekod perpindahan termahal British – mengatasi yuran perpindahan termahal sebelum ini melibatkan Moises Caicedo ke Chelsea daripada Brighton yang bernilai £115 juta.
Sementara itu, Isak pula bersetuju untuk menurunkan tandatangannya di atas kontrak yang mengikatnya selama enam musim bersama Liverpool.
Kehadiran Isak ini menarik untuk disaksikan terutamanya gandingannya bersama penyerang prolifik dari Mesir, Mo Salah yang memenangi gelaran penjaring terbanyak musim lalu dengan catatan 29 gol.
Featured Image: Liverpool FC