Manchester United Sambar Penjaga Gol Muda Belgium Sebelum Jendela Perpindahan Ditutup
Hafiz Omar

Kelab yang memulakan kempen Premier League (PL) 2025-26 dengan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan, Manchester United mengumumkan menandatangani Senne Lammens – penjaga gol muda dari Belgium.
Khidmat pemain berusia 23 tahun itu disambar skuad The Red Devils pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas PL. Untuk makluman, jendelanya ditutup pada jam 2 pagi tadi (waktu Malaysia).
Untuk makluman, Lammens menyertai Manchester United dari Royal Antwerp – kelab yang diwakilinya sejak 2023.

Musim lalu, Lammens berhasil meletakkan namanya dalam kelompok lapan penjaga gol yang merekodkan “clean sheet” tertinggi dalam saingan Liga Pro Belgium iaitu 10 perlawanan tanpa bolos.
Pada Mac lalu, Lammens mendapat panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan senior Belgium buat julung kalinya dalam kariernya. Namun, debutnya bersama skuad berjulukan Red Devils di bawah bimbingan Rudi Garcia masih belum berkunjung tiba.
Penyertaan Lammens menyaksikan pengurus Manchester United, Ruben Amorim mempunyai empat pilihan bagi mengawal gawangnya disamping penjaga gol sedia ada – Andre Onana, Tom Heaton dan Altay Bayindi.
Featured Image: Manchester United