Rodrigo Holgado Tiba Di Malaysia Pagi Tadi – Peter Cklamovski
Hafiz Omar

Penggempur Argentina berketurunan Malaysia, Rodrigo Holgado yang menjaringkan gol ketika bertemu Vietnam pada Jun lalu baru sahaja tiba di Kuala Lumpur, pada pagi tadi.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski ketika dalam sidang media praperlawanan antarabangsa tier 1 menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Bagaimanapun, Cklamovski tidak memberikan sebarang pengesahan samada pemain berusia 30 tahun itu akan diturunkan atau direhatkan pada aksi bertemu pasukan 159 dunia pada malam esok.

“Nantikan, dia tiba (di Kuala Lumpur) pada pagi tadi, kita akan lihat nanti,” jawab Cklamovski.
Selain terpaksa menempuh perjalanan yang panjang dari Colombia, Holgado juga bertolak lewat untuk ke kem latihan pusat berikutan terlibat dengan aksi liga bersama kelabnya, America de Cali bertemu Alianza FC.
Dalam perlawanan tersebut, diturunkan dalam kesebelasan utama dan sempat beraksi sehingga ke babak kedua sebelum dikeluarkan pada minit 52 oleh pengendali, Diego Raimondi.
Sementara itu, Cklamovski yang berusia 46 tahun itu memaklumkan akan mengadakan sesi latihan terakhirnya pada malam ini.
Segala keputusan samada untuk menurunkan mana-mana pemain dalam kesebelasan utamanya atau meletakkan di bangku simpanan akan ditentukan selepas sesi latihan tersebut.
Featured Image: Malaysia NT